
PETALING JAYA: Monsun Timur Laut (MTL) bermula hari ini dijangka membawa tiga hingga lima episod hujan lebat berterusan antara November hingga Januari tahun depan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, keadaan itu mampu meningkatkan risiko banjir khususnya di kawasan berhampiran sungai dan rendah.
Katanya, Jabatan Meteorologi Malaysia (Met Malaysia) juga meramalkan angin kencang yang boleh mengakibatkan laut bergelora serta kenaikan paras laut khususnya di perairan Laut China Selatan.
“Justeru, saya menyeru semua rakyat khususnya mereka yang berada di kawasan berisiko, supaya sentiasa berwaspada dan mengikuti ramalan serta amaran cuaca semasa.
“Elakkan berada di kawasan yang mudah dinaiki air, jangan mengambil risiko meredah banjir dan patuhi arahan pihak berkuasa sekiranya diminta berpindah,” katanya dalam hantaran di Facebook miliknya hari ini.
Beliau juga mengingatkan supaya penduduk di kawasan berisiko untuk memastikan dokumen penting, ubat-ubatan, keperluan asas dan nombor kecemasan sentiasa berada dalam keadaan siap sedia.
“Keselamatan diri dan keluarga mesti menjadi keutamaan. Insya-Allah, semoga kita semua dijauhkan daripada sebarang musibah serta sentiasa berada dalam lindungan Allah SWT,” katanya.
Berdasarkan infografik dikongsikan Met Malaysia di Facebook, corak cuaca sepanjang MTL dijangka membawa episod hujan lebat di Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor, Sabah dan Sarawak antara November hingga Januari tahun depan.
Pada fasa akhir MTL, taburan hujan dijangka berkurangan melibatkan negeri di utara Semenanjung dan Sabah.
“Tempoh fasa awal MTL, hujan lebat berterusan boleh berlaku jika terdapat luruan monsoon kuat dan wujud sistem cuaca bertekanan rendah.
“Cuaca kering dan kurangnya taburan hujan pada fasa akhir MTL antara Januari hingga Mac 2027 di utara Semenanjung berpotensi menyebabkan berlakunya gelombang haba,” katanya. – UTUSAN
The post Monsun Timur Laut: Ahmad Zahid gesa rakyat waspada appeared first on Utusan Malaysia.






