amree20/11/2026 - 11:40 Gambar hiasan - BERNAMA Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 20 Nov — Sebanyak 32,996 motosikal elektrik sudah didaftarkan di Malaysia setakat September 2026, mencerminkan perkembangan penggunaan kenderaan dua roda itu ketika kerajaan terus menggalakkan peralihan daripada motosikal petrol kepada pilihan lebih mesra alam.
Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah berkata, motosikal elektrik berpotensi mengurangkan pelepasan gas rumah kaca sehingga 55% bagi setiap kilometer, dengan kadar pelepasan 27 gram karbon dioksida setara (gCO₂eq), berbanding 60gCO₂eq bagi motosikal petrol.
Menurut beliau, jurang besar perbezaan tersebut lebih ketara apabila diukur berdasarkan kepada kiraan penumpang setiap kilometer, dengan motosikal elektrik hanya menghasilkan pelepasan kira-kira 24.82gCO₂eq berbanding sebanyak 140.82gCO₂eq bagi motosikal petrol.
"Secara umum, motosikal didapati menyumbang 42% daripada jumlah perjalanan kenderaan yang diukur melalui Vehicle Kilometres Travelled (VKT), tetapi hanya menggunakan 12.3% daripada keseluruhan tenaga dan menghasilkan kira-kira 12.4% pelepasan gas rumah kaca," jelasnya.
Hasbi menyatakan demikian ketika menjawab soalan lisan Dr Abd Ghani Ahmad (PN-Jerlun) di Dewan Rakyat pada Khamis mengenai perancangan kerajaan untuk menggalakkan penggunaan motosikal elektrik dalam kalangan rakyat seperti berlaku di China serta penilaian terhadap manfaatnya.
Mengulas lanjut, dari segi penggunaan tenaga, motosikal elektrik juga lebih cekap apabila memerlukan 0.35 x 10⁻⁶ ktoe bagi setiap 100 kilometer, berbanding 1.65 x 10⁻⁶ ktoe bagi motosikal petrol, sekali gus berpotensi mengurangkan kebergantungan kepada bahan api fosil.

Bagaimanapun tambah beliau, kerajaan menggalakkan langkah peralihan kepada kenderaan elektrik (EV) secara berperingkat dengan mengambil kira kemampuan pengguna, kesiapsiagaan pasaran, pembangunan infrastruktur dan teknologi jentera serta aspek keselamatan semasa.
"Antara langkah sokongan ialah Skim Galakan Penggunaan Motosikal Elektrik (MARiiCas) diperkenalkan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) melalui Malaysia Automotive, Robotics and IoT Institute (MARii) pada 2023, dengan rebat RM2,400 kepada pembeli yang layak," kata Hasbi.
Selain itu, kadar baharu Lesen Kenderaan Motor (LKM) bagi motosikal elektrik berkuat kuasa mulai Januari 2026 selepas pengecualian cukai jalan kenderaan elektrik berakhir pada 31 Disember 2025. Kadarnya ditetapkan antara RM9 hingga RM42 setahun berdasarkan kuasa elektrik dalam kilowatt.
Kerajaan turut menilai penggunaan sistem penukaran bateri (BSS) menerusi projek demonstrasi oleh Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) melalui Malaysian Green Technology and Climate Change Corporation (MGTC), bersama rakan strategik industri penghantaran pada Disember 2024.
Melalui sistem itu, pengguna boleh menukar bateri yang hampir habis kepada bateri yang sudah dicas penuh tanpa perlu menunggu proses lama pengecasan, sekali gus berpotensi menangani cabaran jarak perjalanan, tempoh pengecasan dan kos permulaan pemilikan motosikal elektrik.
"Kerajaan berpandangan motosikal elektrik mampu mengurangkan pencemaran udara dan pelepasan karbon selain menawarkan kos operasi serta penyelenggaraan rendah, namun peralihan dilaksanakan secara berperingkat berdasarkan situasi semasa," jelasnya. - DagangNews.com




