33 PJH terima lesen musim 2027, diseru utamakan jemaah haji

1 Sep 2026 • 7:28 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: 33 PJH terima lesen musim 2027, diseru utamakan jemaah haji

SEPANG – Sebanyak 33 syarikat Pengelola Jemaah Haji (PJH) termasuk TH Travel & Services Sdn. Bhd. dianugerahkan lesen bagi mengelola jemaah untuk Musim Haji 1448H/2027.

Majlis serahan Lesen PJH itu disempurnakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Zulkifli Hasan di Hotel dan Pusat Konvensyen Mövenpick Hotel di sini hari ini.

Zulkifli berkata, lesen yang diberikan bukan sekadar kelulusan untuk menawarkan pakej haji, sebaliknya merupakan satu amanah besar dalam mengurus perjalanan suci para tetamu Allah.

“Setiap PJH perlu memastikan kebajikan jemaah sentiasa menjadi keutamaan. Setiap janji yang diberikan kepada bakal jemaah hendaklah dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab, integriti dan profesionalisme,” katanya.

PJH terpilih telah melalui proses penilaian teliti dan menyeluruh sebelum 33 syarikat dikenal pasti memenuhi syarat kelayakan untuk diberikan lesen.

Penilaian itu mengambil kira pelbagai aspek termasuk kedudukan kewangan, rekod prestasi, pengalaman serta keupayaan syarikat dalam menyediakan perkhidmatan terbaik kepada jemaah.

Mengulas lanjut, katanya, semua PJH diseru memberikan maklumat yang jelas, tepat dan telus kepada bakal jemaah, khususnya berkaitan penginapan, pengangkutan, makanan serta kemudahan lain bagi membolehkan mereka membuat pilihan berdasarkan maklumat yang lengkap.

Katanya, persaingan dalam kalangan PJH perlu berasaskan peningkatan kualiti perkhidmatan, inovasi dan tadbir urus yang baik tanpa menjejaskan kepercayaan serta kebajikan jemaah.

“PJH juga diingatkan agar mematuhi syarat-syarat lesen PJH yang ditetapkan oleh TH, mengemaskini maklumat di Sistem Agensi Haji bagi mengelakkan denda yang boleh menjejaskan pengeluaran lesen di masa hadapan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menegaskan kecemerlangan pengurusan haji Malaysia yang mendapat pengiktirafan antarabangsa, termasuk kejayaan menerima Anugerah Labaytum kategori Diamond daripada Kerajaan Arab Saudi buat kali kedua berturut-turut perlu terus dipertahankan dan dipertingkatkan.

“Pengiktirafan ini bukan alasan untuk kita berasa selesa, sebaliknya perlu menjadi dorongan untuk semua pihak terus memperbaiki kelemahan, meningkatkan standard dan mencari pendekatan baharu demi memberikan perkhidmatan terbaik kepada jemaah haji Malaysia,” katanya. – KOSMO! ONLINE

The post 33 PJH terima lesen musim 2027, diseru utamakan jemaah haji appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved