
Pelaksanaan projek pembangunan dan penaiktarafan di Johor terus menunjukkan perkembangan positif apabila 33 daripada 69 projek melibatkan 16 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) serta SUK Bahagian Kerajaan Tempatan telah mencapai tahap kemajuan 47.9 peratus.
Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri, Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata, sebanyak 25 projek atau 36.2 peratus sedang dalam pelaksanaan, manakala 11 projek lagi atau 15.9 peratus masih dalam proses kelulusan.
Menurutnya, pelaksanaan projek berimpak tinggi berkenaan turut memberi kesan positif terhadap sektor pelancongan apabila beberapa lokasi utama di negeri itu merekodkan peningkatan jumlah pengunjung.
“Ini dibuktikan menerusi Night Zoo Johor yang merekodkan kehadiran 368,784 pelancong dengan hasil diterima berjumlah RM3.3 juta sejak dibuka pada 27 Mac lalu.
“Kehadiran pengunjung yang cukup baik juga direkodkan di Hutan Bandar Johor Bahru yang mencatatkan 112,479 orang, Taman Merdeka (34,535) dan Taman Teluk Danga (290,408) sehingga 31 Julai,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Beliau berkata, peningkatan berkenaan antara lain didorong usaha penyelenggaraan serta penambahbaikan kemudahan awam yang dilaksanakan secara berterusan.
Tambahnya, Eco Tourism Kampung Sungai Melayu turut mencatat prestasi memberangsangkan apabila merekodkan 15,188 pengunjung dengan hasil hampir RM669,000 sehingga 31 Julai.
“Jumlah kehadiran pelancong ini meningkat 143.01 peratus manakala hasilnya turut meningkat 219.68 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu,” katanya.
Baca juga:Mohd Jafni berkata, pencapaian tersebut merupakan antara hasil pelaksanaan 12 projek utama berimpak tinggi yang sedang dinaik taraf di Johor.
Katanya, ia membuktikan peranan kerajaan tempatan bukan sahaja tertumpu kepada aspek pengurusan bandar, malah turut menyediakan persekitaran yang selesa, selamat dan berkualiti untuk rakyat.
Ujarnya, usaha penaiktarafan akan terus dipergiatkan kerana langkah berkenaan bukan sahaja menceriakan kawasan, malah berpotensi merangsang pertumbuhan ekonomi setempat.
“Beberapa projek lain kini memasuki fasa akhir antaranya Bangunan Sultan Ibrahim di Bukit Timbalan dan projek penyelesaian banjir Kampung Mohd Amin yang dijangka siap pada penghujung bulan depan.
“Sistem perparitan Jalan Dato Sulaiman pula dijangka siap pada 14 Ogos. Sementara itu, Santuari Buaya Tanjung Langsat yang kini mencapai 70 peratus kemajuan disasarkan siap pada 19 September, manakala Pusat Rekreasi Sungai Lebam di Pengerang yang mencapai 75 peratus siap dijangka selesai pada 30 September,” katanya.
Dalam pada itu, Mohd Jafni berkata, tempoh berbaki perlu dimanfaatkan sepenuhnya dengan meningkatkan pemantauan bagi memastikan setiap projek dapat disiapkan mengikut jadual ditetapkan.
Menurutnya, pemantauan berterusan penting bagi memastikan projek pembangunan yang dilaksanakan benar-benar memberi manfaat kepada rakyat serta mencapai matlamat yang ditetapkan kerajaan negeri.






