36 PATI Indonesia termasuk wanita hamil, kanak-kanak ditahan APMM Perak

19 Sep 2026 • 4:04 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: 36 PATI Indonesia termasuk wanita hamil, kanak-kanak ditahan APMM Perak

LUMUT – Seramai 36 pendatang asing tanpa izin (PATI) yang menaiki vesel kayu Indonesia tanpa nombor pendaftaran ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim (APMM) Perak, di sini, semalam.

Pengarah Maritim Perak, Kepten Maritim Mohamad Shukri Khotob berkata, kesemua PATI itu ditahan dalam satu operasi penguatkuasaan di kedudukan kira-kira 9.4 batu nautika barat daya muara Sungai Belukang, di sini sekitar pukul 9.30 pagi.

Beliau berkata, hasil risikan dan intipan terhadap aktiviti jenayah di perairan negeri ini, aset-aset APMM Perak telah diletakkan dalam keadaan bersiap sedia bagi menjalankan serbuan ke atas vesel yang disyaki terlibat dalam aktiviti penyeludupan PATI.

“APMM Perak kemudiannya mengatur gerak pasukan operasi ke sekitar lokasi dan mengesan sebuah vesel yang disyaki merupakan vesel nelayan tradisional Indonesia sebelum berjaya dipintas untuk pemeriksaan.

“Hasil pemeriksaan mendapati vesel berkenaan membawa 36 individu yang terdiri daripada tiga orang kru termasuk tekong dan 33 penumpang, kesemuanya warga Indonesia berumur antara dua hingga 57 tahun,” katanya di sini, hari ini.

Daripada jumlah tersebut, Mohamad Shukri berkata, dua orang merupakan wanita hamil, manakala tiga lagi ialah kanak-kanak yang terdiri daripada seorang kanak-kanak lelaki dan dua kanak-kanak perempuan.

Beliau berkata, pemeriksaan lanjut turut menemukan beberapa pasport, kad pengenalan Indonesia serta beg pakaian milik kesemua individu terbabit.

“Hasil pemeriksaan mendapati kesemua individu terbabit disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak menggunakan laluan keluar atau masuk yang sah ke Malaysia.

“Kes turut disiasat di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007,” katanya.

Mohamad Shukri berkata, kesemua tahanan bersama vesel telah dibawa ke jeti sebelum diserahkan kepada Pegawai Penyiasat APMM untuk menjalani proses siasatan dan tindakan lanjut mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa. – KOSMO! ONLINE

The post 36 PATI Indonesia termasuk wanita hamil, kanak-kanak ditahan APMM Perak appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved