
LUMUT – Seramai 384 individu ditahan berhubung kes penyeludupan pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam 13 operasi bersepadu di Manjung sejak Januari hingga bulan ini.
Timbalan Ketua Polis Perak, Mohammad Azlin Sadari berkata, kesemua tangkapan itu merupakan hasil penguatkuasaan yang dijalankan secara berterusan oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung dengan kerjasama Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Pasukan Polis Marin dan Maritim Malaysia (APMM).
“Dalam 11 operasi yang dilaksanakan, seramai 384 individu ditahan terdiri daripada 368 warga indonesia, sembilan kanak–kanak Indonesia dan dua warga bangladesh.
“Turut ditahan lima rakyat tempatan kerana terlibat dalam aktiviti sama,” katanya pada sidang akhbar di IPD Manjung di sini hari ini.
Beliau berkata, sebanyak 11 kertas siasatan dibuka dan 320 tangkapan dituduh atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 dan Akta Imigresen 1959/63.
Sementara itu, katanya, pihaknya menahan tiga warga tempatan dan menyelamatkan dua kanak-kanak warga Myanmar dan dua lelaki India yang dipercayai menjadi mangsa pemerdagangan orang.
“Seramai 13 migran warga Myanmar turut ditahan kerana gagal mengemukakan dokumen atau permit yang sah. Ketiga-tiga suspek telah dihadapkan ke mahkamah,” katanya.
Tambahnya, dalam satu operasi yang dijalankan pada 18 Ogos lalu, pihaknya berjaya menumpaskan cubaan penyeludupan dadah jenis methamphetamine seberat 5.8 kilogram bernilai RM185,600.
“Dadah itu dipercayai cuba diseludup keluar dari Malaysia oleh lelaki Indonesia yang merupakan antara migran ditangkap dalam operasi berkenaan.
“Lelaki asing itu dituduh di bawah Seksyen 39b Akta Dadah Berbahaya 1952 di Mahkamah Majistret Pantai Remis pada 28 Ogos lalu,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post 384 individu ditahan seludup PATI di Manjung dalam 9 bulan appeared first on Kosmo Online.






