SUKMA 2026: Cuaca panas tak halang Jerusha raih gangsa 1,500 meter buat Selangor

18 Aug 2026 • 8:18 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

SUKMA 2026: Cuaca panas tak halang Jerusha raih gangsa 1,500 meter buat Selangor

SERDANG, 18 OGOS: Perbezaan cuaca tidak menghalang pelari Selangor, Jerusha Olive Jason menghadiahkan pingat gangsa dalam acara 1,500 meter wanita pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 di Stadium Universiti Putra Malaysia (UPM), hari ini.

Jerusha yang kini melanjutkan pengajian di Australia berjaya menamatkan perlumbaan di tempat ketiga dengan catatan 4 minit 59.100 saat, di belakang pelari Wilayah Persekutuan dan Johor.

Atlet berkenaan mengakui memerlukan sedikit masa untuk menyesuaikan diri dengan cuaca panas Malaysia selepas menjalani latihan dalam keadaan lebih sejuk di Australia.

Bagaimanapun, faktor tersebut tidak menghalangnya daripada memberikan aksi terbaik demi merealisasikan impian menghadiahkan pingat buat Selangor di pentas SUKMA.

“Tidak sia-sia saya pulang ke Malaysia dari Australia untuk menyertai SUKMA. Walaupun cuaca panas memerlukan penyesuaian dalam sistem badan saya namun saya masih rakyat Malaysia dan ini adalah cuaca saya,” katanya kepada Media Selangor.

Jerusha turut merakamkan penghargaan kepada barisan kejurulatihan dan seluruh kontinjen Selangor yang banyak membantu sepanjang persiapannya menghadapi temasya kali ini.

“Terima kasih kepada semua terutama barisan kejurulatihan dan seluruh kontinjen Selangor kerana tanpa bantuan mereka saya tidak mendapat pingat ini,” katanya.

Dalam pada itu, pelari Selangor dalam acara 1,500 meter lelaki gagal menambah pingat selepas menamatkan saingan tanpa podium.

Kutipan tersebut menyaksikan kem olahraga Selangor menutup hari ketiga saingan dengan satu pingat perak dan satu gangsa menerusi acara 200 meter wanita dan 1,500 meter wanita.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved