
TELUPID: Empat maut selepas kereta dinaiki mereka bertembung dengan sebuah lori di Km 7 Jalan Telupid-Beluran, berhampiran Kampung Gambaron, di sini, pagi Rabu.
Kemalangan berlaku kira-kira 6.30 pagi apabila sebuah Proton Saga BLM, yang dalam perjalanan dari Beluran menuju ke pekan Telupid, dipercayai hilang kawalan ketika melalui selekoh sebelum memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan lori dari arah bertentangan.
Empat mangsa tersepit di tempat duduk hadapan dan belakang kereta sebelum dikeluarkan oleh anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
Kesemua mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan dari Klinik Kesihatan Telupid.
Pusat Gerakan Operasi JBPM Sabah berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 7.28 pagi.
Seramai tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Beluran bergerak sejauh 93km ke lokasi kejadian, namun berdepan kesukaran berikutan ketiadaan liputan telefon dan Rangkaian Trunk Radio Bersepadu Kerajaan (GIRN).
“Empat mangsa berada di dalam kereta dan dikeluarkan sebelum pegawai perubatan mengesahkan mereka meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya.
Identiti dan jantina kesemua mangsa belum dikenal pasti, manakala mayat mereka diserahkan kepada PDRM untuk tindakan lanjut.
Pemandu lori tersebut mengalami kecederaan ringan dan menerima rawatan awal daripada petugas perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum dibawa ke Klinik Kesihatan Telupid.
Operasi menyelamat ditamatkan pada 9.58 pagi selepas anggota bomba memastikan lokasi selamat dan tiada bahaya lain.
Telupid merupakan daerah pedalaman di Sabah, manakala Sandakan, bandar utama terdekat, terletak kira-kira 130km dari kawasan itu.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Beluran, Supt Hasan Majid mengesahkan kereta berkenaan dipandu seorang lelaki tempatan berusia 63 tahun yang membawa tiga warga asing, dan kesemua mereka maut dalam kemalangan itu.
Beliau berkata pemandu lori tempatan berusia 44 tahun mengalami kecederaan pada kaki dan tangan, manakala empat mangsa dalam kereta itu tersepit di tempat duduk hadapan dan belakang.
“Siasatan awal mendapati kereta yang dalam perjalanan dari Beluran menuju ke pekan Telupid dipercayai hilang kawalan ketika melalui selekoh.
“Kereta itu dipercayai memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan lori yang dalam perjalanan ke tempat kerja dari Kampung Gambaron menuju Gerak Maju Reality,” katanya dalam kenyataan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 oleh Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah Beluran.
Orang awam atau saksi yang mempunyai maklumat atau rakaman kamera papan pemuka (dashcam) diminta membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Alpius @ Nickee bin Yakim di talian 019-8707626 atau hadir ke balai polis berdekatan.






