40,000 pengunjung meriahkan sambutan Hari Kebangsaan peringkat Kedah

31 Aug 2026 • 12:51 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: 40,000 pengunjung meriahkan sambutan Hari Kebangsaan peringkat Kedah

ALOR SETAR: Kira-kira 40,000 masyarakat pelbagai lapisan dan kaum hadir memeriahkan sambutan Hari Kebangsaan Ke-69 Peringkat Negeri Kedah di Dataran Medan Bandar, di sini hari ini.

Sambutan disertai lebih 3,000 peserta membabitkan 96 kontinjen terdiri daripada pelbagai jabatan dan agensi kerajaan, sekolah, institusi pengajian tinggi, pasukan beruniform dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah berkenan berangkat ke sambutan berkenaan.

Keberangkatan baginda diiringi Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah dan Tunku Mahkota Kedah, Tunku Shazuddin Ariff yang disambut Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor serta Setiausaha Kerajaan Kedah, Datuk Seri Norizan Khazali.

Sambutan dimulakan dengan nyanyian lagu negeri, Allah Selamat Sultan sebelum Sultan Sallehuddin memeriksa kawalan kehormatan utama dari Batalion Keenam, Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) bersama Panji-Panji Rejimen.

Sambutan diteruskan dengan persembahan koir, persembahan tarian dan perbarisan kontinjen melintasi pentas utama.

Pengunjung juga disajikan dengan acara terbang lintas hormat melibatkan aset latihan udara Angkatan Tentera Malaysia (ATM) iaitu tiga pesawat Pilatus PC-7 MK II dari INSPEN 1 serta dua pesawat EC 120B dari INSPEN 2 yang berpangkalan di Kolej Tentera Udara, Alor Setar.

Pameran aset ketenteraan RAMD turut diadakan di Dataran Medan Bandar dengan mempamerkan pelbagai aset ketenteraan antaranya empat kenderaan pengangkut tempur infantri GEMPITA oleh 19 RAMD Mekanize.

Selain itu, lapan kenderaan jenis B juga dipamerkan, terdiri daripada dua buah Cendana Auto FFR, tiga Kenderaan Pembawa Senjata (KPS) dan tiga Kenderaan Pembawa Mortar (KPM).

Sementara itu, promosi Askar Wataniah serta pameran senjata kecil berlangsung selama dua bermula semalam hingga 4 petang ini. – UTUSAN

The post 40,000 pengunjung meriahkan sambutan Hari Kebangsaan peringkat Kedah appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved