40,000 pesawah terkesan baja lewat, UMNO Kedah cadang tuntut ganti rugi

LocalPolitics
12 Sep 2026 • 12:21 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: 40,000 pesawah terkesan baja lewat, UMNO Kedah cadang tuntut ganti rugi
Shaiful Hazizy membahaskan ucapan dasar presiden sempena PAU di WTCKL pada Sabtu.

KUALA LUMPUR - UMNO Kedah mencadangkan kira-kira 40,000 pesawah dan petani yang terkesan akibat kelewatan bekalan Baja 3 menuntut ganti rugi daripada kerajaan.

Ketua Penerangan UMNO Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata, tuntutan itu wajar dipertimbangkan susulan dakwaan kelewatan bekalan baja memberi kesan kepada golongan pesawah dan petani di negeri berkenaan.

Menurutnya, nasib kira-kira 40,000 pesawah tidak boleh dipandang ringan kerana mereka bergantung kepada hasil pertanian sebagai sumber pendapatan.

“40,000 pesawah ini sumber bergantung kepada hasil pertanian. Macam mana nak dapat hasil?

“UMNO mencadangkan 40,000 pesawah yang terkesan ini tuntut ganti oleh kerajaan,” katanya ketika ketika membahaskan ucapan dasar presiden sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini pada Sabtu.

Pada 13 Ogos lalu, Pengerusi Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSAWAH), Abdul Rashid Yob dilapor memaklumkan, kira-kira 40,000 daripada 60,000 pesawah di kawasan Mada masih belum menerima baja tiga (tambahan), sekali gus dikhuatiri menjejaskan hasil padi musim ini.

Beliau berkata, kelewatan baja itu membimbangkan kerana input berkenaan diperlukan ketika tanaman padi memasuki peringkat reproduktif antara usia 40 hingga 60 hari bagi membantu pembentukan tangkai dan pengisian buah.

Justeru, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu memaklumkan, baki bekalan baja kepada pesawah di kawasan itu akan mula dihantar bermula 3 September dengan keseluruhan proses penghantaran disasarkan selesai dalam tempoh 10 hari.

Shaiful Hazizy berkata, masalah bekalan input pertanian perlu diberi perhatian serius kerana kelewatan baja boleh menjejaskan proses penanaman dan hasil bakal diperoleh pesawah.

“Macam mana nak bercucuk tanam sawah padi kalau baja pun lambat sampai kepada pesawah dan juga petani,” katanya.

Dalam pada itu, Shaiful Hazizy mempersoalkan suara beberapa individu dari parti kerajaan dalam memperjuangkan nasib 40,000 pesawah dan petani yang didakwa terkesan berikutan isu berkenaan.

“Hari ini nak tanya, apabila 40,000 pesawah (terkesan), mana suara mereka? Mana perjuangan mereka?" soalnya lagi.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved