Guna agensi penguatkuasaan tekan musuh politik

LocalPolitics
12 Sep 2026 • 11:58 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Guna agensi penguatkuasaan tekan musuh politik

KUALA LUMPUR: Sasaran terhadap pimpinan UMNO dalam kes melibatkan Tabung Haji (TH) dan Felda adalah cubaan intimidasi dan tekanan politik bagi mencalarkan imej parti.

Jurucakap UMNO Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata, tindakan sedemikian merupakan satu penyakit apabila kerajaan menyalahgunakan institusi dan badan penguatkuasaan untuk menekan lawan politik masing-masing.

Katanya, penyakit itu bermula apabila ‘kumpulan penguasa’ melihat saingan politiknya memperoleh peningkatan sokongan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.

“Sewaktu PRN Negeri Sembilan, apabila nampak saingan yang akan diberikan kepada partinya meningkat, terus kata hendak menyahklasifikasi dokumen RCI (Siasatan Suruhanjaya Diraja) Tabung Haji. Pada masa sama, dia cakap hendak kaji dan minta buat siasatan kepada Felda pula.

“Sekarang ada pula ura-ura hendak panggil selongkar KKDW, hendak selongkar Mara dan sebagainya. Itulah bermulanya tekanan kepada pemimpin-pemimpin kita,” katanya ketika membahaskan ucapan dasar Presiden UMNO pada Perhimpunan Agung UMNO 2026, di sini, hari ini.

Shaiful Hazizy berkata, tindakan ke atas bekas Pengerusi Tabung Haji (TH), Datuk Seri Abdul Azeez Rahim dan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Jamil Khir Baharom sambil mengenakan baju oren dan ungu juga adalah cubaan untuk mencalarkan imej parti.

“Kita ingat adalah sakau, adalah rembat, tapi apabila keluar pendakwaan, rupa-rupanya conflict of interest (konflik kepentingan) inilah intimidasi politik, tekanan politik untuk memusnahkan lawan dengan menggunakan institusi kerajaan.

“Dulu, orang ini asyik bercakap soal dipenjara, ditampar, dibogelkan, tetapi orang sama juga menggunakan badan penguatkuasa menekan lawan politiknya.

“Orang sama dulu melaungkan beliau dizalimi, beliau ditekan, beliau dikhianati, kemudian waktu pilihan raya kata akan membuat reformasi, antaranya hendak meletakkan SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) itu sendiri di bawah Parlimen.

“Tapi apa tindakan yang dibuat sekarang? Tak ada! Tak ada tindakan yang dibuat. Kita dah tunggu lama. Reformasi jadi apa? Reformasi jadi reformati,” katanya.

Dalam nada menyindir, Shaiful Hazizy turut mencadangkan supaya SPRM dijenamakan semula kepada ‘PKRM’ kerana institusi itu kini menjadi senjata politik secara jelas dan terang untuk membunuh karakter dan imej parti lawan. – UTUSAN

The post Guna agensi penguatkuasaan tekan musuh politik appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved