46 majikan didenda RM56,900 langgar perintah gaji minimum, Dewan Rakyat diberitahu

LocalPolitics
23 Nov 2026 • 4:58 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

46 majikan didenda RM56,900 langgar perintah gaji minimum, Dewan Rakyat diberitahu Image from: 46 majikan didenda RM56,900 langgar perintah gaji minimum, Dewan Rakyat diberitahu hamden23/11/2026 - 16:58 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 23 Nov - Sebanyak 46 majikan didakwa atas kesalahan membayar gaji di bawah kadar minimum dengan jumlah denda RM56,900 susulan penguatkuasaan berterusan Jabatan Tenaga Kerja (JTK) di pelbagai sektor termasuk perusahaan mikro.

 

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Khairul Firdaus Akbar Khan berkata, tindakan pendakwaan itu menyusuli pembukaan 128 kertas siasatan oleh JTK terhadap pelanggaran Perintah Gaji Minimum 2024.

 

“Antara syarikat yang didakwa kerana membayar gaji di bawah kadar gaji minimum ialah sebuah syarikat pembuatan yang dikenakan denda RM8,000 dan sebuah syarikat dalam sektor perkhidmatan yang didenda RM24,000,” katanya ketika sesi Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

 

Menurutnya, JTK melaksanakan 28,259 pemeriksaan di premis majikan sehingga 31 Ogos 2026 dan mengesan 204 majikan yang tidak mematuhi peraturan berkenaan.

 

Majikan terbabit kemudiannya diberikan notis pematuhan bagi membolehkan tindakan pembetulan diambil.

 

Selain pemeriksaan secara proaktif, Khairul Firdaus berkata JTK turut mengambil tindakan terhadap aduan pekerja bagi memastikan sebarang pelanggaran ditangani dalam tempoh ditetapkan.

 

“Sebanyak 264 aduan diterima, dengan 233 aduan diselesaikan dan 185 daripadanya didapati mempunyai asas,” katanya.

 

Dalam tempoh sama, JTK merekodkan 585 kes buruh, dengan 477 kes berjaya diselesaikan menerusi pengeluaran perintah pembayaran berjumlah RM894,646.73 kepada pekerja terjejas.

 

Sementara itu, kadar gaji minimum baharu sebanyak RM2,000 sebulan yang diumumkan menerusi Belanjawan 2027 akan berkuat kuasa mulai 1 Jun 2027.

 

Khairul Firdaus berkata, pelaksanaan dasar berkenaan mengambil kira pendekatan seimbang bagi memastikan kenaikan gaji tidak membebankan kelangsungan operasi perniagaan berskala kecil.

 

Sehubungan itu, kerajaan memberikan pengecualian kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang mencatatkan hasil jualan tahunan di bawah RM50 juta.

 

Bagaimanapun, PMKS yang layak mendapat pengecualian itu tetap digalakkan melaksanakan kadar gaji minimum baharu berkenaan. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved