liza24/11/2026 - 17:23 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 24 Nov – Gelombang penyenaraian baharu dijangka berterusan tahun depan apabila sebanyak 49 syarikat sudah mengemukakan permohonan untuk disenaraikan di Bursa Malaysia, sekali gus memberi isyarat bahawa minat korporat terhadap pasaran modal tempatan masih belum reda.
Jumlah itu belum mengambil kira syarikat yang masih belum memulakan proses permohonan, menjadikan prospek pasaran tawaran awam permulaan (IPO) Malaysia pada 2027 dilihat terus positif.
Rakan Kongsi Perkhidmatan Pasaran Modal Deloitte Malaysia, Wong Kar Choon berkata, semakan terhadap laman web Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) dan Bursa Malaysia pada 23 November mendapati 49 syarikat sedang melalui proses kelulusan dan penilaian untuk penyenaraian.
Beliau berkata, perkembangan itu memberikan gambaran positif mengenai IPO negara yang kekal aktif seterusnya menyokong jangkaan terhadap aktiviti pasaran yang memberangsangkan pada tahun depan.
Malaysia dahului Asia Tenggara dengan kutipan AS$1.8 bilion
Keyakinan terhadap prospek 2027 itu hadir selepas Malaysia mencatatkan prestasi IPO yang memberangsangkan sepanjang 2026, dengan 57 penyenaraian berjaya mengumpulkan kira-kira AS$1.8 bilion dalam tempoh 10 bulan setengah pertama tahun ini.
Jumlah itu meningkat 24% berbanding kutipan pada 2025, sekali gus meletakkan Malaysia di kedudukan teratas Asia Tenggara dari segi dana yang diperoleh menerusi IPO.
Bukan sekadar jumlah penyenaraian, saiz urus niaga turut menunjukkan peningkatan apabila purata nilai IPO berkembang 29% kepada kira-kira AS$31 juta tahun ini.
Menurut Wong, perubahan itu mencerminkan peralihan pasaran ke arah penyenaraian yang lebih besar dan berkualiti tinggi, sekali gus memperlihatkan perkembangan struktur pasaran IPO tempatan.
Penjagaan kesihatan tarik dana terbesar
Dari segi sektor, sains hayat dan penjagaan kesihatan muncul sebagai penyumbang terbesar kepada kutipan IPO dengan kira-kira AS$865 juta menerusi dua penyenaraian, iaitu Sunway Healthcare Holdings Berhad dan Big Caring Group Berhad.
Sementara itu, sektor pengguna mendominasi jumlah penyenaraian dengan 22 IPO yang mengumpulkan AS$392 juta, manakala sektor produk perindustrian merekodkan 18 penyenaraian bernilai AS$313 juta.
Wong berkata, daya tarikan saham penjagaan kesihatan berkait rapat dengan prospek pertumbuhan jangka panjang, termasuk peningkatan populasi berusia, permintaan terhadap perkhidmatan perubatan, pertambahan golongan berpendapatan sederhana serta perkembangan pelancongan perubatan.
Banyak IPO belum tentu menjamin pulangan pelabur
Bagaimanapun, di sebalik peningkatan aktiviti penyenaraian, prestasi saham selepas IPO memberikan gambaran berbeza mengenai pengalaman pelabur di pasaran.
29 daripada 50 IPO di Pasaran Utama dan Pasaran ACE didagangkan di bawah harga tawaran masing-masing setakat 23 November 2026.
Keadaan itu memperlihatkan bahawa kejayaan mengumpulkan dana ketika penyenaraian tidak semestinya diterjemahkan kepada prestasi saham yang memuaskan selepas syarikat memasuki pasaran awam.
Wong berkata, syarikat perlu memastikan prestasi kewangan kekal positif selain mengekalkan standard pelaporan dan tadbir urus korporat yang baik bagi mempertahankan keyakinan pelabur serta penilaian saham.
Sementara itu, Ketua Perkhidmatan Pasaran Modal Deloitte Asia Tenggara, Tay Hwee Ling berkata, rantau Asia Tenggara merekodkan 89 IPO dengan jumlah kutipan AS$5.1 bilion setakat 20 November 2026.
Malaysia, Singapura dan Vietnam menyumbang kira-kira 78% daripada keseluruhan dana yang dikumpulkan, manakala Singapura berada di tempat kedua dengan AS$1.3 bilion. Filipina pula menyumbang 19%, sebahagian besarnya disokong penyenaraian besar Mynt Inc (GCash).
Tay berkata, prospek IPO serantau kekal positif secara berhati-hati, namun penilaian yang realistik serta keupayaan syarikat memenuhi unjuran dan komitmen dalam prospektus selepas disenaraikan menjadi penentu kepada keyakinan pelabur. - DagangNews.com






