liza24/11/2026 - 10:43 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 24 Nov – 7-Eleven Malaysia Holdings Berhad dijangka terus berdepan tekanan margin keuntungan sehingga 2028 susulan peningkatan kos operasi termasuk kenaikan gaji minimum, perbelanjaan pengembangan rangkaian kedai dan pelaburan dalam format CAFé by 7-Eleven.
CGS International berkata, meskipun pertumbuhan jualan kumpulan itu kekal memberangsangkan, peningkatan kos operasi menyebabkan pertumbuhan hasil gagal diterjemahkan kepada keuntungan yang lebih tinggi.
Bagi tempoh sembilan bulan pertama tahun kewangan 2026 (9MFY26), keuntungan bersih teras 7-Eleven merosot 40.3% kepada RM19.5 juta berbanding RM32.7 juta dalam tempoh sama tahun sebelumnya.
Bagaimanapun, hasil kumpulan meningkat 12.8% kepada RM2.66 bilion daripada RM2.36 bilion, manakala keuntungan kasar bertambah 9.2% kepada RM786 juta.
CGSI berkata, prestasi keuntungan itu hanya merangkumi 48% daripada anggaran firma penyelidikan berkenaan bagi keseluruhan FY2026 dan 57.4% daripada unjuran konsensus Bloomberg, sekali gus berada di bawah jangkaan.
Peningkatan kos pekerja, pengembangan kedai tekan margin
Menurut CGSI, peningkatan perbelanjaan jualan dan pengedaran sebanyak 11.9% tahun ke tahun serta kos pentadbiran yang melonjak 33.1% menjadi antara faktor utama menjejaskan keuntungan kumpulan.
“Tekanan kos itu dijangka berterusan berikutan peningkatan perbelanjaan susut nilai dan pelunasan susulan pelaburan modal serta pengembangan kedai, selain kos pekerja dan kewangan yang lebih tinggi.
“Pihak pengurusan memaklumkan bahawa kenaikan gaji minimum kepada RM2,000 sebulan, iaitu peningkatan 17.6% berbanding 2025, dijangka memberi kesan kepada kira-kira 11,000 pekerja kedai kumpulan itu.
“Bagaimanapun, kesan kenaikan tersebut dijangka dapat dikurangkan sebahagiannya menerusi penggunaan tenaga kerja logistik dan penyelenggaraan dalaman, kadar penggantian pekerja secara semula jadi serta pendigitalan operasi,” kata CGSI dalam nota kajiannya.
CGSI menjangkakan tekanan kos berterusan boleh melambatkan pemulihan margin keuntungan sehingga FY2028, meskipun jualan kumpulan dijangka terus berkembang pada FY2027.
Pelaburan 7Café perlukan masa untuk hasilkan pulangan
Dalam tempoh sembilan bulan pertama FY2026, 7-Eleven menambah 64 kedai bersih baharu dan menukar 192 kedai kepada format 7Café, selaras dengan andaian CGSI masing-masing sebanyak 100 pembukaan bersih dan 200 penukaran kedai bagi keseluruhan tahun kewangan.
CGSI berpandangan momentum jualan yang positif disokong pertumbuhan jualan kedai sama (SSSG), pengembangan rangkaian serta peningkatan nilai purata pembelian pelanggan kepada RM9.30 berbanding RM8.50 sebelumnya.
Namun, firma penyelidikan itu menjangkakan peningkatan promosi, perbelanjaan modal lebih tinggi serta kos kakitangan akan terus mengehadkan pertumbuhan keuntungan dalam tempoh terdekat.
Sehubungan itu, CGSI menurunkan anggaran keuntungan bersih teras 7-Eleven bagi FY2026 hingga FY2028 antara 22% hingga 31% bagi mengambil kira persekitaran kos operasi, perbelanjaan kewangan serta susut nilai dan pelunasan yang lebih tinggi.
Keuntungan bersih teras kumpulan diunjurkan sebanyak RM29.2 juta bagi FY2026, sebelum meningkat kepada RM34.9 juta pada FY2027 dan RM58.3 juta pada FY2028.
Harga sasaran diturunkan kepada RM1
Susulan semakan unjuran keuntungan itu, CGSI menurunkan harga sasaran saham 7-Eleven kepada RM1 daripada RM1.40 sebelum ini, sambil mengekalkan saranan 'Reduce'. Pada harga saham RM2 ketika laporan itu diterbitkan, harga sasaran baharu tersebut menunjukkan potensi penurunan sebanyak 50%.
CGSI berkata, penilaian saham 7-Eleven masih tinggi berbanding prospek pertumbuhan keuntungannya, dengan saham kumpulan itu diniagakan pada nisbah harga kepada pendapatan (P/E) sebanyak 63.6 kali bagi FY2027 dan 38 kali bagi FY2028.
Firma penyelidikan itu berpandangan pemulihan keuntungan kumpulan bergantung kepada disiplin pengurusan kos, peningkatan produktiviti kedai serta kematangan operasi 7Café yang mampu menyumbang kepada margin lebih baik.
Antara risiko penurunan yang dikenal pasti ialah perbelanjaan jualan dan pengedaran lebih tinggi daripada jangkaan serta peningkatan kos operasi susulan pengembangan rangkaian 7Café. Sebaliknya, kematangan operasi 7Café yang lebih pantas dan peningkatan margin di peringkat kedai boleh menjadi pemangkin kepada prestasi lebih baik.- DagangNews.com






