Projek air mega RM1 bilion dijangka pacu pendapatan Engtex pada 2027-2028, kata CGSI

LocalBusiness & Finance
23 Nov 2026 • 11:25 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Projek air mega RM1 bilion dijangka pacu pendapatan Engtex pada 2027-2028, kata CGSI Image from: Projek air mega RM1 bilion dijangka pacu pendapatan Engtex pada 2027-2028, kata CGSI liza23/11/2026 - 11:25 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 23 Nov – Engtex Group Bhd dijangka mendapat manfaat daripada peluang kontrak paip bernilai kira-kira RM1 bilion menerusi beberapa projek infrastruktur bekalan air mega yang bakal menjadi pemacu utama pertumbuhan pendapatan kumpulan bagi tahun kewangan 2027 dan 2028.

 

CGSI berkata, projek berkenaan termasuk Projek Fasa 2 Sungai Rasau, Loji Rawatan Air Langat 2 dan Projek Pemindahan Air Perak-Pulau Pinang yang secara keseluruhannya menawarkan peluang kontrak paip berskala besar kepada Engtex.

 

Menurut firma penyelidikan itu, peningkatan permintaan terhadap paip air serta penambahbaikan margin keuntungan dijangka menyokong prestasi kumpulan, khususnya apabila pelaksanaan projek infrastruktur berkenaan mula berkembang dalam tempoh akan datang.

 

CGSI menjangkakan margin keuntungan kasar Engtex kekal pada 13 hingga 14 peratus bagi suku keempat 2026 hingga tahun kewangan 2027, sekali gus menyokong pertumbuhan keuntungan kumpulan.

 

Projek Perak-Pulau Pinang tawar peluang kontrak RM400 juta

Antara projek yang diberi perhatian ialah Projek Pemindahan Air Perak-Pulau Pinang, yang dianggarkan mempunyai nilai kontrak paip kira-kira RM400 juta.

 

CGSI menganggarkan Engtex berpeluang memperoleh kira-kira 60 peratus bahagian pasaran bagi komponen paip projek berkenaan, berdasarkan kedudukan kumpulan dalam industri produk paip dan keluli.

 

“Dengan andaian margin keuntungan kasar antara 15 hingga 20 peratus, projek itu berpotensi menyumbang tambahan keuntungan RM17 juta hingga RM26 juta kepada Engtex sepanjang tempoh pelaksanaannya selama empat tahun.

 

“Jumlah itu bersamaan kira-kira 38 hingga 58 peratus daripada anggaran keuntungan kumpulan bagi tahun kewangan 2026, atau sumbangan sekitar RM4 juta hingga RM6 juta setahun,” kata CGSI dalam nota kajiannya.

 

CGSI menjangkakan tender bagi projek berkenaan dibuka menjelang akhir 2026 atau awal 2027 susulan perkembangan positif selepas pemegang saham PBA Holdings Bhd pada 12 November 2026 meluluskan cadangan perjanjian pembelian air terawat secara pukal bernilai RM24.6 bilion dengan Perak.

 

Buku tender meningkat kepada RM1.2 bilion

Sementara itu, buku tender Engtex kekal tinggi pada RM1.2 bilion setakat suku ketiga 2026, jauh melebihi purata RM592 juta yang direkodkan pada tahun kalendar 2025.

 

Menurut CGSI, perkembangan itu mencerminkan peningkatan permintaan terhadap paip air, manakala peluang tender daripada projek di Malaysia Timur dan Sungai Rasau dijangka terus menyokong pengisian semula buku tempahan kumpulan.

 

Firma penyelidikan itu turut melihat kemungkinan fenomena El Nino pada Januari 2027 meningkatkan kebimbangan terhadap keselamatan bekalan air, sekali gus mendorong kerajaan mempercepatkan perbelanjaan bagi pembangunan infrastruktur air.

 

Keuntungan teras sembilan bulan meningkat lebih 200%

Dari sudut prestasi kewangan, keuntungan bersih teras Engtex meningkat kepada RM34.9 juta bagi tempoh sembilan bulan berakhir 30 September 2026 (9MFY26), berbanding RM10.9 juta dalam tempoh sama tahun sebelumnya.

 

Bagaimanapun, hasil kumpulan hampir tidak berubah pada RM1.05 bilion berbanding RM1.06 bilion sebelumnya, menunjukkan peningkatan keuntungan lebih banyak disumbangkan oleh penambahbaikan margin berbanding pertumbuhan hasil.

 

CGSI berkata, margin keuntungan kasar meningkat kepada 14 peratus daripada 10.2 peratus dalam tempoh sama tahun sebelumnya, didorong pengurangan inventori berkos tinggi serta peningkatan pengeluaran bar keluli dan paip kimpalan rintangan elektrik (ERW).

 

Pengeluaran bar keluli mendapat sokongan daripada permintaan projek bangunan perindustrian dan infrastruktur, manakala paip ERW disokong penggunaan dalam projek kegunaan am, mekanikal dan elektrikal (M&E) serta pusat data.

 

Bagi suku ketiga 2026 sahaja, Engtex merekodkan keuntungan bersih teras RM9.3 juta, meningkat 4.7 peratus berbanding RM8.9 juta setahun sebelumnya, namun susut 41.5 peratus berbanding RM15.9 juta pada suku kedua 2026.

 

CGSI menjelaskan penurunan suku ke suku itu disebabkan permintaan yang dibawa lebih awal bagi paip ERW dan bar keluli pada suku kedua, justeru menjangkakan keuntungan kumpulan kekal secara relatif stabil pada suku berikutnya.

 

Kekalkan saranan Tambah, harga sasaran RM0.71

Berdasarkan prospek berkenaan, CGSI mengekalkan saranan Tambah terhadap saham Engtex dengan harga sasaran RM0.71. Firma penyelidikan itu menganggarkan keuntungan bersih kumpulan meningkat kepada RM43.90 juta bagi tahun kewangan 2026, RM58.92 juta pada 2027 dan RM61.91 juta pada 2028.

 

Bagaimanapun, risiko terhadap prospek kumpulan termasuk kelewatan pemberian kontrak projek serta turun naik harga keluli yang boleh memberi tekanan kepada margin keuntungan kasar.

 

Engtex terlibat dalam perniagaan pengedaran dan pembuatan produk berkaitan keluli, termasuk paip, injap dan kelengkapan, selain mempunyai segmen pembangunan hartanah serta hospitaliti. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved