
Ikuti saluran TikTok, WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Sebelum ini, tular di media sosial mngenai seorang kanak-kanak perempuan dikenali sebagai Nur Haira Watikah Mohammad Hamizi berusia dua tahun yang mengalami cedera parah selepas digigit oleh lima ekor anjing liar di Kampung Tambak, Sungai Kelambu, Peserai, Batu Pahat, Johor.
Susulan insiden itu, polis turut membuka kertas siasatan mengikt Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 kerana kesalahan berkaitan pengabaian kanak-kanak serta Seksyen 289 Kanun Keseksaan bagi kecuaian berkenaan haiwan.
BACA ARTIKEL BERKAITAN: “Nur Haira Berlumuran Darah, Nafasnya Perlahan” – Keluarga Kongsi Detik Cemas Nur Haira Digigit Anjing Liar
5 ekor anjing liar serang kanak-kanak dua tahun diburu, kenal pasti status rabies
Terbaharu Exco Hal Ehwal Agama Islam Johor, Mohd Fared Mohd Khaled memaklumkan lima ekor anjing yang dipercayai menyerang kanak-kanak terbabit kini diburu.
Perkara itu bertujuan untuk memastikan anjing-anjing itu boleh diperiksa serta dikenal pasti mengenai status rabies.
Menurut beliau, tindakan segera tersebut adalah penting ekoran kebimbangan pihak hospital ke atas kemungkinan haiwan yang menyerang kanak-kanak itu dijangkiti rabies.
Jelasnya lagi, operasi secara besar-besaran untuk memburu serta menangkap anjing liar di kawasan itu juga sudah dimulakan oleh Pejabat Daerah Batu Pahat sejak 7 September selain ia juga akan dipergiatkan sekurang-kurangnya untuk tempoh seminggu.
Pihak hospital bimbang anjing liar serang mangsa ada rabies
“Antara tanggungjawab besar pihak berkuasa ialah menangkap anjing liar berkenaan kerana kembimbangan pihak hospital sama ada anjing yang terlibat mempunyai penyakit rabies.
“Ini memerlukan tangkapan segera dibuat supaya anjing-anjing liar di kawasan tersebut dapat disemak dan diperiksa.
“Jika bebas rabies, barulah ada sedikit kelegaan kepada doktor serta ibu bapa kerana kebimbangan ini boleh menjejaskan tahap pemilihan anak ini,” jelasnya, lapor Sinar Harian.
MPBP, DVS, & PDRM antara terlibat operasi buru anjing liar
Kata Mohd Fared lagi, operasi itu turut membabitkan pihak berkuasa lain seperti:
- Majlis Perbandaran Batu Pahat (MPBP)
- Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS)
- Polis Diraja Malaysia (PDRM)
Seru guna kaedah yang dibenarkan
“Operasi sedang berjalan ketika ini dan akan diteruskan serta dipanjangkan berdasarkan keperluan semasa.
“Saya menyeru PBT, Pejabat Daerah dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar menggunakan semua kaedah yang dibenarkan undang-undang termasuk pemantauan dan intipan bagi memastikan masalah anjing liar di kawasan tersebut dapat diatasi.”
Sebelum insiden berlaku operasi tangkap anjing liar sudah dilakukan
Menurut Mohd Fared sebelum insiden menimpa kanak-kanak itu berlaku, operasi menangkap anjing liar di kawasan terbabit telah pun dilakukan.
“Pada 12, 26, dan 30 Ogos lalu, MPBP bersama Jabatan Perkhidmatan Veterinar telah menjalankan operasi dan 22 ekor anjing liar berjaya ditangkap.
“Namun kita akui masih terdapat banyak lagi anjing liar di kawasan tersebut sehingga kejadian malang ini menimpa anak kita,” jelas Ahli Dewan Undang Negeri (ADUN) Semerah itu lagi.
Usaha banteras anjing liar akan dipergiatkan di seluruh Negeri Johor
Sementara itu, Mohd Fared juga memaklumkan bahawa usaha untuk membanteras masalah anjing liar bakal dipergiatkan di seluruh Johor selepas isu itu juga berlaku di kawasan lain.
Ujar Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Mohd Jafni Md Shukor turut mengarahkan semua pihak berkuasa tempatan (PBT) menyegerakan operasi berkenaan.
Terdahulu Mohd Fared juga memaklumkan bahawa kerajaan negeri Johor akan menanggung sepenuhnya bagi kos rawatan dan pemulihan kanak-kanak itu, lapor Berita Harian.
Minta orang ramai padam atau turunkan hantaran papar keadaan adik Haira di media sosial
Menerusi hantaran Mohd Fared di Facebook, beliau turut meminta orang ramai untuk menurunkan posting dan memadam gambar memaparkan kecederaan dialami oleh adik Haira seperti yang tular di media sosial.
“Keluarga tidak memberikan keizinan untuk gambar adik Haira disebarkan. Dalam keadaan seperti ini, marilah kita sama-sama menjaga aib, maruah, dan privasi seorang anak kecil serta menghormati perasaan keluarganya.
“Tak perlu lagi gambar adik Haira disebarkan. Cukuplah kita sama-sama mendoakan kesembuhan buat adik Haira.
“Saya mewakili Kerajaan Negeri Johor mengucapkan salam takziah kepada Encik Hamizi sekeluarga. Kita amat berdukacita dengan apa yang berlaku. Insya-Allah, kerajaan negeri akan terus mengambil perhatian dan memastikan perkara ini tidak dipandang ringan.”






