Lima anjing gigit kanak-kanak diburu, perlu diperiksa rabies

8 Sep 2026 • 1:58 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Lima anjing gigit kanak-kanak diburu, perlu diperiksa rabies

JOHOR BAHRU – Lima ekor anjing liar yang menyerang seorang kanak-kanak berusia dua tahun, Nur Haira Wafiqah Muhammad Hamizi di Kampung Tambak, Peserai, Batu Pahat, Sabtu lalu perlu segera ditangkap dan diperiksa bagi memastikan haiwan berkenaan bebas daripada rabies.

Pengerusi Jawatankuasa Agama negeri Johor, Mohd. Fared Mohd. Khaled berkata, tindakan itu penting bukan sahaja bagi menjamin keselamatan penduduk setempat, malah bagi mengurangkan kebimbangan terhadap keadaan kesihatan Nur Haira dalam jangka panjang.

Katanya, pihak hospital kini turut bimbang sama ada anjing yang menyerang kanak-kanak terbabit membawa penyakit rabies atau sebaliknya.

“Jadi ini memerlukan tangkapan segera dibuat supaya anjing liar di kawasan tersebut dapat disemak dan diperiksa.

“Jika disahkan bebas rabies, sedikit kelegaan dapat diberikan kepada pihak doktor dan ibu bapa kerana kebimbangan ini boleh menjejaskan tahap pemulihan anak ini,”katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menziarahi Nur Haira yang kini masih menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi Kanak-Kanak (PICU), Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru, hari ini.

Susulan kejadian itu, Mohd. Fared yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semerah berkata, kerajaan negeri mengarahkan operasi besar-besaran bagi memburu dan menangkap lima ekor anjing liar terbabit yang kini sedang dijalankan Pejabat Daerah Batu Pahat dengan kerjasama Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Menurutnya, operasi itu akan dipergiatkan untuk tempoh sekurang-kurangnya seminggu dengan kaedah tangkapan dipelbagaikan bagi memastikan anjing terbabit dapat dikesan dan ditangkap.

“Bukan hanya menggunakan kaedah semasa, tetapi mempelbagaikan segala kebijaksanaan, operasi pemantauan dan intipan, termasuk menggunakan sebarang kaedah yang dibenarkan undang-undang.

“Komitmen kita adalah memastikan masalah anjing liar di kawasan tersebut dapat diatasi dan kejadian sama tidak berulang kepada orang lain,”katanya.

Mohd. Fared berkata, sebelum kejadian berkenaan, Majlis Perbandaran Batu Pahat (MPBP) bersama DVS telah menjalankan operasi pada 12, 26 dan 30 Ogos lalu dan berjaya menangkap 22 ekor anjing liar di kawasan berkenaan.

Bagaimanapun katanya, jumlah anjing liar yang masih berkeliaran di kawasan tersebut menunjukkan usaha menangkap haiwan berkenaan perlu dipertingkatkan secara berterusan.-KOSMO! ONLINE

The post Lima anjing gigit kanak-kanak diburu, perlu diperiksa rabies appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved