
Kejayaan Taanusiya Chetty mengharumkan nama Malaysia di pentas ratu cantik berprestij Miss World baru-baru ini telah mencetuskan kegembiraan dan mencambah minat ramai rakyat Malaysia terhadap dunia ratu cantik.
Di antara sekian banyak pertandingan ratu cantik, pertandingan yang dianggap paling besar ialah Miss Universe diikuti Miss World, Miss International, Miss Supranational, Miss Grand International dan Miss Earth yang digelar ‘Big 6 Grand Slam Pageant’.
CitaRasa minggu ini kongsikan lima negara di dunia yang paling banyak memenangi mahkota ratu-ratu cantik berprestij itu seperti yang dilaporkan World of Pageantry. Ia sekali gus menggambarkan penguasaan jelitawan negara-negara terbabit di dunia sepanjang sejarah penganjurannya.
1. Venezuela – 25 mahkota
Venezuela memang sejak dahulu dianggap sebagai negara paling berjaya dalam pertandingan ratu cantik. Negara Latin itu pernah disifatkan ‘kilang’ wanita cantik. Bagi dua pertandingan ratu cantik terbesar, Venezuela telah meraih tujuh mahkota Miss Universe dan enam mahkota Miss World.

Ia pernah mencipta sejarah kejayaan ‘back to back’ Miss Universe iaitu pada 2008 menerusi Dayana Mendoza diikuti Stefania Fernandez (2009), Ia juga merupakan negara paling banyak dimahkotakan Miss International iaitu 9 mahkota.
2. Filipina – 18

Filipina ialah negara pertama yang telah berjaya memenangi kesemua enam Big 6 Grand Slam Pageant dan kini merupakan satu-satunya negara di Asia yang mencapainya.
Negara itu telah meraih empat mahkota Miss Universe menerusi Gloria Diaz (1969), Margie Moran (1973), Pia Wurtzbach (2015) dan Catriona Gray (2018), manakala Megan Young mencipta sejarah satu-satunya wanita Filipina memenangi Miss World pada tahun 2013.
3. Amerika Syarikat – 17

Biarpun di tempat ketiga, Amerika Syarikat merupakan negara yang paling banyak meraih mahkota Miss Universe iaitu sembilan mahkota sepanjang sejarah pertandingan itu yang bermula pada tahun 1952. Antara nama-nama yang paling menonjol ialah Brook Lee dan Olivia Culpo.
4. India – 13

India merupakan satu negara besar atau powerhouse dalam ratu cantik terutama sekitar tahun 1990-an dan 2000-an. Banyak juga dalam kalangan aktres Bollywood merupakan pemenang ratu cantik antaranya Sushmita Sen (Miss Universe 1994), Aishwarya Rai (Miss World 1994), Priyanka Chopra (Miss World 2000), Lara Dutta (Miss Universe 2000) sekali gus menunjukkan dominasi Miss Universe dan Miss World pada tahun sama.
5. Puerto Rico – 12

Selain Filipina, Puerto Rico ialah negara yang pernah memenangi kesemua Big 6 Grand Slam Pageant. Antara nama yang menyerlah di pentas Miss Universe ialah Dayanara Torres (1993) dan Zuleyka Rivera (2006).
The post 5 negara ‘ultimate powerhouse’ ratu cantik, No.1 menang ‘crown’ terbanyak appeared first on Kosmo Online.






