
LILONGWE – Kekeliruan tercetus di Malawi mengenai pertandingan Miss World 2026 selepas ratu cantik Thandi Chisi digantikan oleh anak perempuan menterI Kabinet sebagai wakil negara di tenggara Afrika tersebut, lapor laman berita Citizen Digital semalam.
Chisi memenangi pertandingan ratu cantik Miss Malawi dan dimahkotakan pada 13 Disember 2025 di Lilongwe, dengan harapan untuk menyertai kejohanan Miss World.
Bagaimanapun, penganjur memilih naib johan, Ireen Navicha yang merupakan anak perempuan Menteri Kabinet Malawi, Mary Navicha untuk bersaing di pentas global.
Keputusan itu mengundang bantahan meluas dan menimbulkan persoalan tentang aspek ketelusan serta keadilan.
Kekecohan itu berlaku pada waktu kritikal bagi Malawi ketika ia kembali ke pentas global selepas menyepi selama 14 tahun.
Pada mulanya, penganjur Miss Malawi memberikan alasan faktor umur Chisi untuk menggantikannya, mendakwa dia telah melebihi had umur Miss World.
Bagaimanapun, alasan itu cepat disangkal, memandangkan garis panduan rasmi secara amnya merangkumi peserta berumur 17 hingga 27 tahun, sedangkan Chisi masih berusia 27 tahun pada masa pertandingan berlangsung, yang dijadualkan dari 9 Ogos hingga 5 September 2026 di Vietnam.
Pertubuhan Miss Malawi memohon maaf atas kekeliruan tersebut, dengan media tempatan memetik Ketua Pegawai Eksekutifnya, Benedette Mweso sebagai berkata: “mereka memikul tanggungjawab sepenuhnya atas kekeliruan kelayakan umur yang dicetuskan”.
Miss World mengesahkan di laman webnya bahawa Ireen akan menjadi wakil Malawi, menandakan peluang telah tertutup buat Chisi.
Meskipun begitu, Ireen pada 5 September lalu menarik diri daripada pertandingan selepas gagal melangkah dari pusingan Top 40 ke Top 20.
Dia bagaimanapun menjadi wakil Malawi pertama berjaya melangkah ke peringkat Top 40 dalam pertandingan berprestij global tersebut sekali gus mencatatkan pencapaian terbaik negara itu dalam pertandingan berkenaan.
Miss World merupakan salah satu pertandingan ratu cantik antarabangsa yang paling lama bertahan dan berprestij, pertama kali diadakan di London pada tahun 1951. – AGENSI
The post Malawi hantar anak menteri ke pertandingan Miss World, sisih ratu cantik sebenar appeared first on Kosmo Digital.






