Taanusiya ‘mekar’ di pentas dunia, kisah gemilang ratu, guru dan pencinta silat Melayu

2 Oct 2026 • 9:40 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Taanusiya ‘mekar’ di pentas dunia, kisah gemilang ratu, guru dan pencinta silat Melayu

MAHKOTA Miss World Asia 2026 kini berada di atas kepala wanita Malaysia, Taanusiya Chetty @ Veerapandian selepas dirinya diumumkan tempat ketiga dalam kalangan jelitawan-jelitawan dunia pada malam kemuncak pertandingan ratu cantik berprestij Miss World 2026 di Vietnam, 5 September lalu.

Pada malam penuh debar di Nha Trang itu, Taanusiya berjaya menamatkan persaingan bukan sahaja sebagai tiga terbaik (top 3) daripada 111 peserta dari seluruh dunia bahkan terbaik kalangan peserta benua Asia.

Mahkota Miss World telah dimenangi peserta Dominican Republic, manakala peserta Sepanyol di tempat kedua dan Taanusiya mengharumkan nama negara di tempat ketiga.

Namun, di sebalik kilauan pentas dan sorotan kamera, Taanusiya hadir bukan sekadar membawa rupa paras, sebaliknya pengalaman sebagai guru, aktivis pendidikan dan wanita Malaysia yang mahu memberi manfaat kepada masyarakat.

Lebih menarik, perjalanan itu dibentuk oleh keluarga, pendidikan dan pengalaman kehilangan ibu ketika masih remaja sekali gus mengajarnya tentang ketabahan serta menghargai perkara kecil dalam kehidupan.

“Ketika diumumkan top 3, perkara pertama yang saya fikirkan adalah keluarga.

“Saya teringat segala pengorbanan, doa dan sokongan mereka sepanjang perjalanan ini,” katanya kepada K-Wanita.

Image from: Taanusiya ‘mekar’ di pentas dunia, kisah gemilang ratu, guru dan pencinta silat Melayu
TAANUSIYA bergambar kenangan dengan keluarga besarnya.

Berasal dari Kuala Lumpur, Taanusiya membesar dalam keluarga yang sangat rapat dengan bapanya menjadi antara tonggak utama kehidupannya, manakala mendiang ibunya, Saraswathi, meninggalkan nilai dan kenangan yang terus dibawanya.

Selepas kehilangan ibu ketika berusia 14 tahun, kehadiran ibu tirinya, Vigneswari, pula menjadi sumber kasih sayang dan satu lagi figura ibu yang membantu membentuk perjalanan hidupnya.

Keluarganya sangat menitikberatkan pendidikan, disiplin dan rasa hormat, termasuk pegangan bapanya menerusi ungkapan ‘mata, pita, guru dan deivam’ yang menekankan penghormatan kepada ibu bapa serta guru.

“Bagi saya, kejayaan bukan hanya tentang sejauh mana kita pergi, tetapi siapa yang kita bawa bersama dalam perjalanan itu,” katanya lagi.

Sebagai wanita Malaysia berketurunan India, anak ketiga daripada lima beradik itu turut membesar dalam persekitaran yang dekat dengan kepelbagaian budaya dan bahasa.

Taanusiya mampu bertutur dalam bahasa Melayu, Inggeris, Tamil dan Mandarin, kelebihan yang kemudiannya mencuri perhatian ketika sesi Head-to-Head Challenge dalam Miss World.

“Apabila saya bercakap dalam empat bahasa, saya rasa itulah Malaysia.

“Kita boleh membawa banyak budaya, bahasa dan identiti tetapi semuanya tetap menjadikan kita rakyat Malaysia,” katanya.

Image from: Taanusiya ‘mekar’ di pentas dunia, kisah gemilang ratu, guru dan pencinta silat Melayu
Taanusiya mengharumkan nama Malaysia apabila meraih tempat ketiga di pentas Miss World 2026 selain dimahkotakan Miss World Asia 2026 dan pemenang Beauty With A Purpose dalam pertandingan ratu cantik berprestij itu yang berlangsung di Vietnam baru-baru ini. – TAANUSIYA CHETTY @VEERAPANDIAN

Keupayaan tersebut bukan dibentuk dalam tempoh singkat kerana pengalaman persekolahan dan kehidupannya dalam masyarakat pelbagai budaya banyak membantunya memahami perbezaan serta persamaan antara komuniti.

Menyorot perjalanan sebelum bergelar Miss World, usai tamat pengajian dalam bidang Pengajaran Bahasa Inggeris sebagai Bahasa Kedua (TESL) di Management & Science University (MSU), wanita berketinggian 173 sentimeter itu memilih guru sebagai laluan kerjaya.

Pilihan itu dibuat kerana dia percaya pendidikan mampu mengubah kehidupan, manakala penguasaan bahasa Inggeris pula boleh membuka lebih banyak peluang kepada kanak-kanak dan golongan muda.

“Saya mahu membantu murid membina keyakinan untuk berkomunikasi.

“Kadangkala seorang kanak-kanak mempunyai potensi besar, tetapi mereka cuma perlukan seseorang yang percaya kepada mereka terlebih dahulu,” katanya yang baru sahaja selesai menjalani latihan praktikal di salah sebuah sekolah menengah sementara menunggu penempatan tetap.

Bagi Taanusiya, seorang guru bukan hanya menyampaikan sukatan pelajaran, sebaliknya membantu membentuk keyakinan dan masa depan seseorang murid.

Pengalaman melihat murid yang pada awalnya takut membaca, menulis atau bercakap kemudian berani mencuba menjadi antara sebab dia semakin dekat dan cinta dengan dunia pendidikan.

Image from: Taanusiya ‘mekar’ di pentas dunia, kisah gemilang ratu, guru dan pencinta silat Melayu
Taanusiya yang merupakan seorang guru mahu melihat semua kanak-kanak di negara ini mendapat pendidikan terbaik tidak kira apa jua latar belakang.

Pegangan itu kemudiannya diterjemahkan menerusi kerja kemasyarakatan bersama Be.The.Change Malaysia atau Pertubuhan Suara Perubahan Insan Murni yang memberi tumpuan kepada usaha membantu kanak-kanak serta komuniti yang memerlukan.

Prinsip yang dibawanya mudah, iaitu tiada kanak-kanak sepatutnya tercicir hanya kerana mereka lahir dalam komuniti atau keadaan yang mempunyai akses lebih terhad kepada peluang pendidikan.

“Empati tidak sepatutnya berhenti pada rasa simpati. Empati mesti membawa kepada tindakan.

“Justeru, konsep Beauty With A Purpose yang menjadi antara nilai utama Miss World begitu dekat dengan saya,” katanya.

Membanggakan, perjuangan pendidikan itu akhirnya membawa tuah kepadanya apabila menjadi pemenang segmen berkenaan pada edisi tahun ini.

Bercerita lanjut, sebelum sampai ke pentas Miss World, Taanusiya terlebih dahulu mengenali dunia peragaan menerusi Junior Model International Malaysia pada 2016 sebelum menyertai beberapa pertandingan lain.

Dua tahun selepas itu, pengarah nasional Miss Universe Singapura, Sean Wong pernah mendekatinya untuk peluang menyertai Miss World.

Namun, ketika itu dia merasakan dirinya belum cukup bersedia untuk memikul cabaran tersebut.

Pengalaman menyertai Miss Grand Malaysia 2018 dan Miss Global 2024 kemudian mematangkan pandangannya terhadap dunia ratu cantik sebelum dia kembali apabila merasakan waktunya sudah tepat.

“Bila saya kembali, saya lebih matang dan jelas tentang apa yang mahu saya bawa.

“Saya mula melihat ratu cantik bukan sekadar pertandingan kecantikan, tetapi satu platform untuk menggunakan suara dan pengalaman,” katanya.

Dari segi cabaran, persediaan hampir setahun untuk Miss World pula menuntut disiplin tinggi kerana Taanusiya perlu mengimbangi tugas sebagai guru, aktiviti kemasyarakatan serta latihan pertandingan.

Persiapan bukan hanya membabitkan kecergasan fizikal dan penampilan, tetapi turut merangkumi komunikasi, isu semasa, projek kemanusiaan, latihan pentas serta persediaan mental dan emosi.

“Saya cuba kekal menjadi diri sendiri dan tidak membandingkan diri dengan peserta lain.

“Setiap latihan saya anggap sebagai proses belajar. Saya percaya kecantikan bermula dengan menghargai diri sendiri dan jangan sesekali mengejar kesempurnaan,” ungkapnya.

Sebahagian daripada persiapan itu turut membawa Taanusiya mendalami seni silat Melayu selama hampir 10 bulan, pengalaman yang disifatkannya sebagai sisi lembut tetapi kuat dan berdisiplin dalam dirinya.

Berbicara mengenai silat, Taanusiya merasakan ia suatu yang dekat dengan identiti Malaysia dan bakat yang jarang diketengahkan oleh ratu-ratu cantik, jadi dia mahu gunakan peluang itu untuk memperkenalkan seni warisan itu kepada dunia.

“Selepas belajar silat untuk persediaan Miss World, saya sendiri semakin minat dan mahu mendalami lagi, bukan hanya dari segi teknik tetapi juga sejarah dan nilai di sebalik seni ini.

“Harapan saya, lebih ramai orang terutama generasi muda akan kenal dan menghargai silat. Kalau melalui platform saya, ada yang mula tertarik untuk belajar atau mengenali warisan ini, bagi saya itu sudah satu pencapaian yang sangat bermakna,” ujarnya.

Pada masa sama, Taanusiya juga memastikan Malaysia diangkat melalui pakaian, persembahan, pertuturan, interaksi serta cerita tentang negara ketika berada bersama peserta dari seluruh dunia.

Usaha itu membuahkan hasil apabila dia mara ke top 6 selepas memenangi Beauty With A Purpose sebelum akhirnya melabuhkan pertandingan di tempat ketiga.

“Pencapaian ini sangat bermakna kerana Malaysia sudah lama menunggu untuk kembali ke top 3. Saya teringat Lina Teoh yang mencipta sejarah pada 1998.

“Kejayaan itu sememangnya mengulangi pencapaian terbaik Malaysia sekali gus mengembalikan negara ke kelompok tiga terbaik selepas hampir tiga dekad,” ujarnya.

Bagi Taanusiya, pencapaian dan kejayaan tersebut bukan penamat, tetapi permulaan kepada usahanya memperluas usaha pendidikan serta advokasi kanak-kanak.

Fokusnya termasuk pendidikan inklusif, pendidikan khas, kanak-kanak luar bandar dan komuniti yang kurang mendapat akses.

Pada masa sama, dia optimis mengembangkan Be.The.Change supaya lebih ramai kanak-kanak tahu dan sedar mereka dilihat, didengar dan dipercayai.

“Mahkota mungkin mempunyai tempoh, tetapi kerja yang kita tinggalkan untuk masyarakat boleh menjadi sebuah legasi.

“Saya mahu terus bekerja, terus belajar dan membiarkan perjalanan ini berkembang dengan tujuan. Saya percaya perkara yang baik datang pada masa yang tepat,” katanya yang gemar mempelajari perkara baharu termasuk bahasa, budaya dan kemahiran.

Dengan prinsip hidup ‘Driven by Purpose, Rooted in Change’, Taanusiya percaya gelaran yang diraihnya bukan sekadar tentang mahkota di atas kepala.

Malah, ia menjadi amanah dan tanggungjawab untuk memastikan setiap peluang yang hadir membawa perubahan kepada orang lain.

 

The post Taanusiya ‘mekar’ di pentas dunia, kisah gemilang ratu, guru dan pencinta silat Melayu appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved