
5 Pembeli Terpantas Sambal Nyet Bilis KA Akan 'Terbang' Ke Itali
Pempengaruh dan usahawan terkenal, Khairul Aming (KA) telah memperkenalkan produk keempatnya Sambal Nyet Bilis semalam.
Pengumuman itu sekali gus membuatkan orang ramai terutamanya peminatnya sangat teruja untuk mencuba produk terbaru itu.
Bakal dilancarkan secara rasmi dan boleh mula dibeli pada Jumaat ini, KA sekali lagi mengumumkan sesuatu yang mengujakan hari ini.
Menerusi video terbaru, KA berkata akan turut mengadakan giveaway pada Jumaat di mana lima pembeli terpantas akan dibawa bercuti ke Dolomites, Itali pada bulan Oktober depan.

Lima individu terpantas yang membeli produk terbarunya itu boleh membawa pasangan masing-masing, menjadikan jumlah yang dibawa ke sana ialah seramai 10 orang
"Tahun ni KA nak bawa lima pemenang untuk bercuti ke Dolomites Itali and yang bestnya kau orang boleh bawa plus one tau.
"Ah so total akan jadi 10 orang nanti and tahun lepas KA bawa pemenang pergi ke New Zealand. Tahun ni kita pergi Europe pula. So macam-macam aktiviti kita akan buat dekat Itali nanti," katanya.
Selain di lokasi itu, KA berkata banyak lagi aktiviti yang akan dilakukan dan tempat-tempat menarik yang akan dikunjungi.

Bagi yang tertanya-tanya bagaimana untuk bergelar lima pemenang bertuah itu, KA menyatakan orang ramai boleh membeli dalam live di TikToknya pada jam 9 malam Jumaat ini.
"Hari Jumaat ni pukul 9 malam kau orang boleh tengok live di TikTok Khairul Aming.
"Kita akan launch produk terbaru KA Sambal Nyet Bilis and lima pembeli terpantas yang beli lima botol sambal and buat pembayaran menggunakan Duit Now ataupun online banking akan menang trip ni.
"Okey. Ah so ingat online banking saja. Bukan kredit kad. Bukan debit kad. Bukan QR. Bukan Paylater. Bukan e-wallet. Online banking sahaja," katanya.
Semalam, selepas berbulan-bulan membuat persiapan, pempengaruh dan usahawan terkenal, Khairul Aming secara rasmi mengumumkan produk sambal terbaharunya, Sambal Nyet Bilis.
Menerusi satu hantaran di X, setelah enam tahun menjalankan perniagaan, beliau akhirnya menambah satu lagi jenis sambal selepas kejayaan Sambal Nyet Berapi.


![Khairul Aming Perkenal Produk Sambal Nyet Ke-4, Siap Turun Ke Laut Untuk Belajar Tentang Ikan Bilis [Video]](https://buzzkini.my/wp-content/uploads/2026/08/Sambal-Bilis-1.jpg?t=1785779306)



