
Khairul Aming 'Turun Padang', Bakal Lancar Sambal Nyet Bilis
Selepas berbulan-bulan membuat persiapan, pempengaruh dan usahawan terkenal, Khairul Aming secara rasmi mengumumkan produk sambal terbaharunya, Sambal Nyet Bilis.
Menerusi satu hantaran di X, setelah enam tahun menjalankan perniagaan, beliau akhirnya menambah satu lagi jenis sambal selepas kejayaan Sambal Nyet Berapi.
Katanya, sambal baharu ini bukan sahaja berbeza dari segi rasa namun Sambal Nyet Bilis ini mempunyai lebih banyak bahan berbanding produk-produk sebelumnya.
Di samping itu, Khairul Aming juga menyatakan bahawa bahan-bahan utama sambal ini iaitu ikan bilis dan cili diperoleh khas daripada nelayan dan petani tempatan.
Lebih menarik, Khairul Aming sendiri turun padang bagi mendapatkan pengalaman dan memahami proses mendapatkan bahan-bahan utama untuk sambal terbaharunya itu.
Baca juga:
Durioo: Kartun Nostalgia Zaman Ibu Bapa, Dibina Semula Dengan Suntikan Islamik
UTHM Perkenal Logo Baharu Dengan Tulisan Jawi
Beliau telah menyertai nelayan tempatan di Setiu, Terengganu untuk melihat sendiri cara mereka mengenal pasti ‘hotspot’ ikan bilis, selain mempelajari kaedah memukat ikan bilis.
“Bila kita ikut nelayan turun ke laut ni, kita boleh appreciate dan tengok betapa tak mudahnya, betapa susahnya nak tangkap ikan bilis ni.
“Ia memerlukan kudrat yang sangat kuat dan bukan setiap hari nelayan kita akan dapat bilis yang banyak,” katanya.
Sambal Nyet Bilis Rasmi Dilancarkan Jumaat Ini
Dalam pada itu, Khairul Aming menjelaskan bahawa keputusan menjadikan ikan bilis sebagai bahan utama dalam sambal terbaharunya adalah kerana beliau mahu menghasilkan rasa sambal yang mengingatkan kepada sambal tradisional zaman dahulu.
Tidak terhenti di situ, Khairul Aming turut mengunjungi ladang cili di Banting, Selangor bagi mendalami proses penanaman cili bersama petani tempatan.
Selepas selesai lawatan ke Setiu dan Banting, Khairul Aming membawa pengikutnya melihat pula kilang penghasilan sambal tersebut di Kota Bharu, Kelantan.
Di situ, usahawan berkenaan mempunyai tiga buah kilang yang mampu menghasilkan lebih 12,000 botol sambal setiap hari.
Khairul Aming turut memaklumkan bahawa beliau telah menggaji seramai 100 anak tempatan untuk membantu dalam proses penghasilan sambal tersebut.
Untuk makluman, pelancaran rasmi Sambal Nyet Bilis akan berlangsung pada Jumaat ini, 7 Ogos menerusi siaran langsung di TikTok Khairul Aming, dengan sebanyak 125,000 botol akan ditawarkan untuk jualan.

![Khairul Aming Perkenal Produk Sambal Nyet Ke-4, Siap Turun Ke Laut Untuk Belajar Tentang Ikan Bilis [Video]](https://buzzkini.my/wp-content/uploads/2026/08/Sambal-Bilis-1.jpg?t=1785748104)




