Ikuti saluran TikTok, WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Nama influencer dan usahawan, Khairul Aming sudah tidak asing lagi dalam industri perniagaan makanan serta pembuatan konten (content creator). Malah individu ini sering menjadi inspirasi atas setiap kejayaannya dan sikapnya yang tidak lokek untuk berkongsi ilmu.
KA tampil dengan produk terbaharu
Terbaharu Khairul Aming yang mesra dipanggil KA telah memperkenalkan produk terbaharu iaitu Sambal Nyet Bilis. Sambal ini merupakan produk keempat yang bakal menemui pelanggannya dalam masa terdekat ini.
Menurut KA, syarikatnya kini sudah bersedia untuk tampil dengan sambal yang baharu selepas enam tahun berniaga dan hanya mengeluarkan produk Sambal Nyet Berapi.
Gigih turun ke Terengganu untuk belajar tentang ikan bilis
Demi mengeluarkan produk keempat itu, KA dilihat gigih turun padang sehingga ke Setiu, Terengganu untuk melihat sendiri bagaimana para nelayan menangkap ikan bilis serta mempelajari mengenainya.
Kata KA, Sambal Nyet Bilis adalah sangat berbeza dengan Sambal Nyet Berapi kerana ia menggunakan lebih banyak bahan dan mempunyai rasa yang berlainan.
“Jadi untuk belajar tentang ikan bilis kita turun ke Setiu, Terengganu untuk tengok macam mana nelayan tempatan kita turun ke laut. Jadi bermula seawal lepas Subuh lagi kita dah berangkat ke tengah laut untuk mengenal pasti lokasi ikan bilis berkumpul.
“Bila dah jumpa, pukat pun diturunkan lepas tu buat dalam bentuk bulat macam ni untuk perangkap bilis di tengah (pukat).
“Kebiasaannya kita beli ikan bilis dah siap dekat kedai kan, tapi bila kita ikut nelayan turun ke laut ni kita boleh hargai dan tengok bertapa tidak mudahnya nak tangkap ikan bilis ni dan dia memerlukan kudrat yang sangat kuat dan bukan setiap hari nelayan akan mendapat bilis yang banyak,” katanya dalam satu video yang dikongsikan.
KA turut menyatakan sebab dia menggunakan ikan bilis dalam produk terbaharunya adalah kerana mahu mendapatkan rasa yang lebih ‘kick’ dan kuat persis seperti sambal yang dibuat oleh orang zaman dahulu.
Selain itu, ikan bilis yang didapatkan daripada pihak pengeluar juga akan diteliti satu per satu sebelum ia digoreng untuk proses membuat sambal.
Bukan hanya itu, ikan bilis akan digoreng sehingga garing bagi mendapatkan tekstur yang cantik selain memberikan aroma ikan bilis ke dalam minyak masak.
Pergi ke Banting untuk belajar tentang cili
Apa yang lebih menarik, jika sebelum ini Sambal Nyet Berapi banyak menggunakan cili merah namun kelainan bagi produk terbaharu ini adalah ia lebih banyak menggunakan cili hijau.
Bahkan untuk mempelajari lebih mendalam tentang jenis cili, KA turut turun ke Banting, Selangor untuk melihat bagaimana petani tempatan menghasilkan penanaman cili.
Guna cili hijau sebab nakkan rasa yang berbeza dengan Sambal Nyet Berapi
Katanya sebab dia menggunakan cili hijau pada produk terbaharu itu kerana mahukan rasa:
- Pedas yang lebih lembut
- Berlemak
- Lebih wangi
Tambahnya untuk menghasilkan sambal bagi produk keempat itu, KA menggunakan sebanyak 75% cili hijau dan 25% cili merah.
“Tapi bukan ini sahaja yang kita guna, untuk tambahkan rasa umami kita tambahkan juga tomato segar, daun limau purut dan belacan.
“Sebab itu sambal ini beza rasanya dengan sambal yang sebelum ni (Sambal Nyet Berapi).”
Siap tunjuk setiap proses untuk hasilkan produk terbaharu
Dalam video sama, KA turut menunjukkan setiap proses pembuatan daripada memilih bahan, memasak sambal sehinggalah ke bahagian pembungkusan yang dilakukan di kilangnya di Kota Bharu, Kelantan.
Apa yang lebih menarik adalah produk keluaran terbaharunya itu diinspirasikan daripada rasa, sumber dan dihasilkan oleh anak tempatan untuk dirasai seluruh dunia.
KA juga bersyukur kerana berjaya memberikan peluang pekerjaan kepada 100 anak tempatan di kilang tempat kelahirannya sepanjang enam tahun melakukan perniagaannya itu,
Di akhir video, KA turut memaklumkan sebanyak 125,000 botol akan dilancarkan pada Jumaat ini (7 Ogos) pada jam 9 malam.
View this post on Instagram
Ramai puji dan terinspirasi dengan cara KA perkenalkan produk
Melihat di ruangan komen, ternyata pengumuman mengenai produk terbaharu itu mendapat sambutan yang memberansangkan apabila ada yang sudah tidak sabar untuk membelinya.
Ada juga yang memuji KA kerana kagum dengan kejayaannya sebagai usahawan termasuklah daripada pelbagai sudut positif.
Bahkan ada yang kagum dengan kegigihannya turun ke sesebuah kawasan demi mempelajari sesuatu perkara dengan lebih mendalam meskipun maklumat kini boleh didapatkan di hujung jari.
Namun mereka memahami pengalaman di lapangan, menyaksikan kesusahan mendapatkan bahan mentah adalah satu perkara berbeza dan tidak dapat dibeli.
“Ia bukan sekadar ‘sambal bilis’ apabila ia daripada KA.”
![Image from: Khairul Aming Perkenal Produk Sambal Nyet Ke-4, Siap Turun Ke Laut Untuk Belajar Tentang Ikan Bilis [Video]](https://buzzkini.my/wp-content/uploads/2026/08/Sambal-Bilis-1.jpg)
“Sangat inspirasi. Jumlah kajian dan usaha yang diletakkan daripada awal sebelum memperkenalkan produk adalah suatu perkara yang peniaga perlu belajar. Terima kasih memberi inspirasi kepada kami untuk membina jenama dan bukan hanya menjual produk.”
![Image from: Khairul Aming Perkenal Produk Sambal Nyet Ke-4, Siap Turun Ke Laut Untuk Belajar Tentang Ikan Bilis [Video]](https://buzzkini.my/wp-content/uploads/2026/08/Sambal-Bilis-2.jpg)
“Cara KA jual sambal bilis sambil membantu para nelayan dan peniaga lain.”
![Image from: Khairul Aming Perkenal Produk Sambal Nyet Ke-4, Siap Turun Ke Laut Untuk Belajar Tentang Ikan Bilis [Video]](https://buzzkini.my/wp-content/uploads/2026/08/Sambal-Bilis-3.jpg)
“Penatnya tengok pakcik-pakcik tu tarik pukat. Kuat betul mereka, kita ni tahu beli saja. Bila tengok tu kita bayar dengan rasa bangga sebab ikan bilis tak murah kerana bukan senang nak dapat ikan bilis.”
![Image from: Khairul Aming Perkenal Produk Sambal Nyet Ke-4, Siap Turun Ke Laut Untuk Belajar Tentang Ikan Bilis [Video]](https://buzzkini.my/wp-content/uploads/2026/08/Sambal-Bilis-4.jpg)






