
JOHOR BAHRU – Sebanyak 53 kenderaan milik warga asing disita dalam Operasi Khas Bersepadu (Warga Asing) yang dijalankan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Daerah Johor Bahru Utara selama lima hari.
Operasi bermula 13 September hingga 17 September lalu itu turut menyaksikan sebanyak 103 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan di bawah undang-undang jalan raya.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Radin Ramlan Radin Taha berkata, operasi berkenaan dijalankan di sekitar kawasan pentadbiran Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Utara.
Menurut beliau, operasi memberi tumpuan kepada pemandu kenderaan dan penunggang motosikal dalam kalangan warga asing yang didapati tidak mematuhi undang-undang serta peraturan lalu lintas.
“Seramai 53 warga asing telah diperiksa dan didapati melakukan pelbagai kesalahan lalu lintas sepanjang operasi berkenaan.
“Sebanyak 103 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan di bawah undang-undang jalan raya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, kesalahan paling banyak dikesan membabitkan pemanduan tanpa lesen memandu yang sah iaitu sebanyak 53 kes di bawah Seksyen 26(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Selain itu, sebanyak 44 kesalahan berkaitan lesen kenderaan motor atau cukai jalan dikesan di bawah Seksyen 23(1) akta sama.
“Enam lagi kesalahan membabitkan pelbagai kesalahan lain di bawah Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan Raya,” katanya.
Radin Ramlan berkata, sepanjang operasi itu juga, pihaknya mengambil tindakan menyita 53 kenderaan di bawah Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Daripada jumlah itu, sebanyak 47 kenderaan adalah motosikal, diikuti empat kereta, sebuah lori dan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV).
“Polis Johor Bahru Utara menyeru semua pengguna jalan raya termasuk warga asing supaya sentiasa mematuhi undang-undang dan peraturan lalu lintas.
“Tindakan penguatkuasaan akan diteruskan dari semasa ke semasa demi memastikan keselamatan pengguna jalan raya serta ketenteraman awam,”katanya.-KOSMO! ONLINE
The post 53 kenderaan warga asing disita, 103 saman dikeluarkan appeared first on Kosmo Online.






