6,401 delegasi banjiri PAU 2026, hala tuju UMNO dalam Kerajaan Perpaduan jadi usul popular

LocalPolitics
3 Sep 2026 • 1:33 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: 6,401 delegasi banjiri PAU 2026, hala tuju UMNO dalam Kerajaan Perpaduan jadi usul popular
Asyraf Wajdi

KUALA LUMPUR - Seramai 6,401 delegasi UMNO tidak termasuk pemerhati dan orang awam dijangka membanjiri Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini pada hari persidangan perwakilan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026.

Menyifatkan PAU sebagai 'hari raya' bagi keluarga besar UMNO, Setiausaha Agungnya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, persidangan tahunan itu membabitkan sayap induk seramai 2,922 orang memenuhi Dewan Merdeka manakala sayap Pergerakan Wanita UMNO (1,163), sayap Pergerakan Pemuda UMNO (1,171) dan Pergerakan Puteri UMNO (1,145).

Menurut beliau, perwakilan UMNO Siswa Dalam Negara dan Kelab UMNO Luar Negara turut dilibatkan dalam perhimpunan kali ini.

"Kita mengharapkan PAU menjadi medan terbaik untuk muhasabah dan melakukan introspeksi (penilaian) dalaman parti.

"Apakah kita benar-benar melaksanakan proses transformasi parti yang diharapkan dalam PAU 2025 tentang berlapang dada dan menerima kembali penyertaan ahli-ahli lama ke dalam Rumah Bangsa, itu tema tahun lepas.

"Dalam PAU 2026 pula penting untuk kita tentukan hala tuju politik dengan senario yang ada di sekeliling parti, saya kira kepimpinan tertinggi mahu mendengar sendiri suara hati akar umbi berkenaan masa depan UMNO," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar PAU 2026 di Auditorium UMNO Aras 4 Menara Dato' Onn WTCKL pada Khamis.

PAU 2026 yang turut bersiaran secara langsung di platform digital UMNO Online dari 9 hingga 12 September ini dijangka menerima kehadiran lebih 50,000 pengunjung disebabkan peningkatan permohonan penyertaan sejak akhir-akhir ini.

Lebih 120 gerai jualan dibuka bermula 8 hingga 12 September bagi memberi peluang kepada usahawan muda bumiputera menjana pendapatan.

Asyraf Wajdi memaklumkan, perhimpunan kali ini menerima usul dari 157 bahagian di mana inisiatif Rumah Bangsa serta halatuju dan kerjasama politik UMNO dalam kerangka Kerajaan Perpaduan antara topik popular untuk dibangkitkan.

Pada masa sama, beliau menegaskan bahawa kepimpinan tertinggi UMNO tidak akan menyekat usaha perwakilan negeri untuk membahaskan apa sahaja isu, termasuk topik-topik hangat yang membabitkan kepentingan awam di media sosial.

Jelasnya, UMNO mengamalkan prinsip keterbukaan dalam konteks tersebut kerana pembahas biasanya dipilih oleh perhubungan negeri masing-masing untuk mewakili suara hati akar umbi bagi mengemukakan sesuatu usul.

"Apa yang dibangkitkan bukan suara individu, tetapi ia suara kolektif akar umbi daripada cawangan, bahagian dan negeri masing-masing.

"Jadi, tidak wajar sekiranya ibu pejabat mengehadkan apa yang boleh dan tidak boleh.

"Biarlah mereka menyuarakan apa sahaja kalau isu terkini yang berbangkit itu boleh menentukan halatuju terbaik parti di mana Majlis Kerja Tertinggi (MKT) yang membuat keputusan," ujarnya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved