
PETALING JAYA: Polis Kuala Lumpur melupuskan 5,022 barang kes dadah bagi tahun 2026, bernila lebih RM5 juta yang membabitkan pelbagai jenis dadah.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, antara dadah yang dilupuskan termasuk methamphetamine, kanabis, kokain, ketamin dan air ketum dengan berat keseluruhan 544.28 kilogram (kg) serta 963.34 liter cecair.
“Pelupusan dadah itu membabitkan 4,884 kertas siasatan yang sudah selesai proses pendakwaan di mahkamah dari 2007 hingga 2025,.
“Barang kes berkenaan dilupuskan menggunakan khidmat Kualiti Alam Sdn Bhd berdasarkan kemampuan dan pengalaman syarikat terbabit,” katanya selepas menghadiri Majlis Pelupusan Barang Kes Dadah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Polis Kuala Lumpur di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, di sini, hari ini.
Fadil berkata, syarikat menggunakan fasiliti terbaharu iaitu scheduled waste to energy atau insinerator.
“Pelupusan akan dijalankan di Pusat Rawatan Sisa Kualiti Alam Sdn Bhd di Pusat Rawatan Sisa Bukit Pelandok, Negeri Sembilan.
“Pelupusan ini bukan sahaja sekadar memusnahkan dadah tetapi memutuskan rantaian penyalahgunaan, menutup ruang kebocoran serta menegaskan bahawa setiap rampasan yang menjadi barang kes akan diurus secara telus, terkawal dan berintegriti,” katanya.- UTUSAN
The post Polis KL lupus dadah bernilai lebih RM5 juta appeared first on Utusan Malaysia.






