61% pelancong Malaysia hadkan belanja cuti Disember bawah RM3,000 ketika kos meningkat - Versa

24 Nov 2026 • 12:11 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

61% pelancong Malaysia hadkan belanja cuti Disember bawah RM3,000 ketika kos meningkat - Versa Image from: 61% pelancong Malaysia hadkan belanja cuti Disember bawah RM3,000 ketika kos meningkat - Versa sarah24/11/2026 - 12:11 Gambar hiasan. Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 24 Nov - Peningkatan kos perjalanan mendorong rakyat Malaysia lebih berhati-hati dalam merancang percutian hujung tahun, dengan 61% pelancong dijangka mengehadkan perbelanjaan sendiri kepada kurang RM3,000, menurut tinjauan platform simpanan dan pelaburan digital, Versa.

 

Tinjauan itu mendapati 88% pelancong melaporkan peningkatan kos sekurang-kurangnya satu keperluan utama perjalanan berbanding percutian terdahulu, terutama pengangkutan (53%), penginapan (52%) dan makanan (52%).

 

Meskipun berdepan peningkatan kos, 59% daripada 2,000 responden masih merancang untuk melancong pada Disember ini, dengan majoriti memilih destinasi dalam negara bagi mengawal perbelanjaan.

 

Percutian domestik jadi pilihan utama

Daripada keseluruhan responden yang merancang percutian, 59% memilih untuk melancong di dalam negara sahaja, manakala 27% ke luar negara dan 14% merancang perjalanan di dalam serta luar negara.

 

Perbezaan perbelanjaan mengikut destinasi juga ketara apabila 51% pelancong domestik menjangka berbelanja kurang RM1,500, manakala 40% pelancong yang ke luar negara menjangka membelanjakan RM5,000 atau lebih.

 

Tinjauan itu turut mendapati 70% ibu bapa yang mempunyai anak berumur 21 tahun ke bawah merancang percutian hujung tahun berbanding 56% responden yang tidak mempunyai anak, dengan 66% daripada mereka yang melancong bersama anak-anak memilih destinasi tempatan.

 

Golongan Generasi Z (Gen Z) juga semakin aktif melancong, dengan 26% merancang lebih banyak perjalanan berbanding Disember tahun lalu, berbanding 18% dalam kalangan generasi milenial.

 

Majoriti guna simpanan berbanding kredit

Dalam pada itu, 64% pelancong membiayai percutian menggunakan simpanan yang diketepikan lebih awal, berbanding 39% menggunakan gaji bulanan dan hanya 13% menggunakan kad kredit atau pelan ansuran.

 

Sebanyak 52% pelancong yang menyimpan lebih awal menyatakan mereka lazimnya lebih selesa dari segi kewangan selepas musim cuti berakhir, berbanding 41% dalam kalangan mereka yang tidak membuat persediaan simpanan.

 

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Bersama Versa, Teoh Wei Xiang berkata, semakin ramai rakyat Malaysia menunjukkan tabiat pengurusan kewangan yang baik dengan merancang percutian lebih awal.

 

“Kebanyakannya memilih bercuti di dalam negara dan membayar menggunakan wang yang telah diketepikan lebih awal. Itu satu tabiat yang wajar dipupuk,” katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Tinjauan Cuti Hujung Tahun Versa dijalankan terhadap 2,000 pengguna aplikasinya di Malaysia antara 13 hingga 16 November 2026, dengan 1,185 responden mempunyai rancangan perjalanan pada Disember ini. Bagaimanapun, hasil tinjauan itu mungkin tidak mewakili keseluruhan populasi rakyat Malaysia. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved