65,699 PATI ditangkap, 224 lokasi panas dikenal pasti

3 Nov 2026 • 7:02 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: 65,699 PATI ditangkap, 224 lokasi panas dikenal pasti

PETALING JAYA: Sebanyak 65,699 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditangkap Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) di seluruh negara bagi tempoh 1 Januari hingga 16 Oktober lalu.

Dalam tempoh sama, Imigre­sen turut mengenal pasti seba­nyak 224 lokasi panas berkaitan keberadaan dan aktiviti warga asing di seluruh negara.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, lokasi berkenaan merangkumi pelbagai kategori termasuk penempatan tidak sah, rumah kongsi di tapak pembinaan, premis perniagaan yang dimonopoli warga asing serta rumah sewa yang padat dengan PATI.

Menurutnya, status sesuatu lokasi sebagai kawasan panas adalah dinamik dan tertakluk kepada penilaian semasa berdasarkan perubahan pola keberadaan warga asing, hasil risikan dan tindakan penguatkuasaan.

“Sejak 1 Januari hingga 16 Oktober lalu, seramai 65,599 PATI ditahan dalam 11,110 operasi di seluruh negara.

“Selain itu, sebanyak 224 lokasi panas dikenal pasti menjadi penempatan PATI.

“Operasi ini merangkumi serbuan ke atas pelbagai lokasi penempatan haram, termasuk rumah setinggan, rumah kongsi serta rumah tumpangan yang didapati dihuni oleh PATI,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Menurutnya, seramai 1,966 majikan yang menggajikan PATI turut ditahan.

“Bermula 1 Januari hingga 30 September lalu, seramai 45,597 warga asing turut terlibat dalam pemindahan pulang ke negara asal.

“Sebanyak RM41.26 juta kompaun dikutip oleh majikan dan RM37.12 juta daripada PATI.

“Imigresen akan terus melaksanakan penguatkuasaan secara berfokus dan berasaskan risikan, selain memperkukuh kerjasama dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) serta agensi penguat kuasa berkaitan mengikut bidang kuasa masing-ma­sing.

“Tindakan turut diberikan terhadap majikan serta mana-mana pihak yang menggaji, melindungi atau memudahkan keberadaan PATI, tertakluk kepada peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa,” katanya.

Zakaria berkata, isu kewujudan dan pengurusan penempatan atau perkampungan ha­ram membabitkan bidang kuasa beberapa pihak, termasuk PBT dan agensi berkaitan.

“Dari sudut bidang kuasa kita, tindakan penguatkuasaan memberi tumpuan kepada keberadaan warga asing yang me­langgar undang-undang imigresen,” katanya.

Zakaria berkata, pemantauan dan tindakan penguatkuasaan akan diteruskan berdasarkan maklumat, aduan serta risikan, termasuk melalui kerjasama strategik dengan PBT dan agensi penguat kuasa lain bagi menangani keberadaan PATI di lokasi yang dikenal pasti.

Katanya, Imigresen turut memberi penekanan kepada tindakan terhadap pihak yang menjadi faktor penyumbang kepada keberadaan PATI termasuk majikan yang menggaji PATI serta mana-mana individu atau pihak yang melindungi atau membenarkan PATI berada di premis mereka.

“Sehubungan itu, tindakan Jabatan Imigresen Malaysia tidak terhenti selepas sesuatu operasi dilaksanakan,” katanya. – UTUSAN

The post 65,699 PATI ditangkap, 224 lokasi panas dikenal pasti appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved