66% golongan muda mahu mencarum awal bina cukup simpanan sebelum bersara, kata kajian Versa

LocalPersonal Finance
12 Oct 2026 • 3:50 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

66% golongan muda mahu mencarum awal bina cukup simpanan sebelum bersara, kata kajian Versa Image from: 66% golongan muda mahu mencarum awal bina cukup simpanan sebelum bersara, kata kajian Versa amree12/10/2026 - 15:50 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 12 Okt – Sebanyak 66% responden Gen Z memilih amalan mencarum simpanan lebih awal walaupun dengan jumlah kecil sebagai tabiat kewangan, menurut kajian Versa, sekali gus menonjolkan kepentingan membina tabungan persaraan sejak usia muda.

 

Dapatan firma tempatan itu berikutan usaha kerajaan menerusi Belanjawan 2027 mengumumkan yang setiap warganegara Malaysia akan didaftarkan secara automatik sebagai ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) apabila berusia 18 tahun, bermula awal 2027.

 

Platform simpanan dan pelaburan digital itu, menyifatkan langkah tersebut sebagai permulaan positif untuk menggalakkan rakyat menyimpan bagi persaraan, namun menegaskan pembinaan simpanan jangka panjang turut memerlukan tabiat kewangan secara konsisten.

 

Pengasas dan Pengarah Urusan Versa, Teoh Wei Xiang berkata, pendaftaran automatik membolehkan golongan muda mempunyai akaun KWSP tanpa perlu mendaftar sendiri, tetapi simpanan perlu dibina melalui caruman dan amalan menyimpan secara berterusan.

 

"Data dalaman kami setakat 9 Oktober 2026 menunjukkan pengguna Gen Z yang mempunyai pelan simpanan auto-debit aktif di Versa Save mencatatkan baki purata empat kali ganda lebih tinggi berbanding pengguna Gen Z tanpa pelan berkenaan," katanya dalam kenyataan.

 

Bagaimanapun, Versa menjelaskan perbandingan itu menunjukkan profil pengguna dan tidak membuktikan bahawa auto-debit sahaja menjadi punca perbezaan baki simpanan tersebut.

 

simpanan_DagangNews2026

 

Dalam tinjauan Hari Malaysia Versa 2026 melibatkan 1,333 responden, sebanyak 60% responden Gen Z turut memilih amalan mempelajari cara melabur, bukan sekadar menyimpan, sebagai pengetahuan kewangan yang mereka harap dapat dikuasai lebih awal.

 

Pada masa sama, persediaan persaraan di luar KWSP masih menjadi cabaran apabila 58% responden Tinjauan Kesejahteraan Kewangan Versa berkata mereka tidak membuat persediaan persaraan secara tetap di luar skim itu, termasuk 20% yang belum mula menyimpan di tempat lain.

 

"Selain pendaftaran automatik KWSP, Belanjawan 2027 turut mengumumkan kenaikan gaji minimum kepada RM2,000 sebulan mulai Jun 2027, tertakluk kepada pengecualian bagi perusahaan mikro, kecil dan sederhana yang memenuhi kriteria ditetapkan," katanya.

 

Langkah lain termasuk penangguhan bayaran balik Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) bagi peminjam bergaji sehingga RM2,500 sebulan, pengecualian penuh duti setem pembelian rumah pertama, serta insentif padanan KWSP untuk pekerja gig.

 

Versa ujar kenyataan tersebut menambah, dapatan kajiannya menunjukkan sudah ada minat besar dalam kalangan Gen Z untuk berusaha memulakan pelaburan lebih awal, namun usaha membina simpanan persaraan memerlukan perancangan kewangan yang berterusan.

 

Tinjauan Hari Malaysia itu melibatkan seramai 488 responden Gen Z, manakala dapatan persediaan persaraan tersebut diperoleh daripada tinjauan dilaksanakan secara berasingan yang melibatkan sejumlah 3,506 responden menerusi aplikasi Versa. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved