67,000 permohonan Kolej Vokasional, hanya 19,567 tempat disediakan

14 Aug 2026 • 3:08 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: 67,000 permohonan Kolej Vokasional, hanya 19,567 tempat disediakan

TAIPING: Sebanyak 67,045 permohonan untuk memasuki Kolej Vokasional (KV) di bawah Kementerian Pendidikan bagi merebut 19,567 tempat yang ditawarkan di seluruh negara.

Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata, jumlah itu dijangka meningkat kepada lebih 68,000 permohonan sebelum tarikh tutup permohonan pada tengah malam ini.

Menurut beliau, jumlah tersebut mencerminkan keyakinan masyarakat terhadap pendidikan dan latihan teknikal serta vokasional (TVET), khususnya di Kolej Vokasional yang semakin mendapat tempat dalam kalangan lepasan sekolah.

“Permintaan terhadap Kolej Vokasional sangat tinggi. Dengan kapasiti 19,567 tempat yang disediakan di seluruh Malaysia, setakat ini kita telah menerima 67,045 permohonan dan jumlah itu dijangka terus meningkat.

“Setiap permohonan akan melalui proses semakan dan saringan sebelum keputusan dibuat,” katanya selepas menghadiri Majlis Pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara Toyo Tyre Malaysia Sdn. Bhd. (TTM) dan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) di Hotel Warisan Taiping di sini hari ini.

Kah Woh berkata, peningkatan permohonan itu adalah hasil usaha berterusan pihaknya dan kerajaan dalam memperkukuh ekosistem TVET, termasuk memperluas kerjasama strategik antara institusi pendidikan dan industri.

Menurut beliau, kolaborasi dengan sektor industri menjadi antara faktor utama yang meningkatkan daya tarikan Kolej Vokasional kerana graduannya mempunyai kemahiran yang menepati keperluan pasaran pekerjaan.

“Kita memastikan anak-anak yang dilahirkan daripada Kolej Vokasional mempunyai kesesuaian dan kemampuan untuk menembusi bidang pekerjaan serta memenuhi keperluan industri.

“Hasil usaha tersebut, kadar kebolehpasaran graduan Kolej Vokasional pada tahun 2025 telah mencecah 99.95 peratus, iaitu hampir 100 peratus,” katanya.

Beliau berkata, kadar kebolehpasaran yang kekal sekitar 98 hingga 99 peratus sejak beberapa tahun kebelakangan ini membuktikan laluan TVET di Kolej Vokasional kini menjadi antara pilihan utama pelajar untuk membina kerjaya selepas tamat persekolahan. – UTUSAN

The post 67,000 permohonan Kolej Vokasional, hanya 19,567 tempat disediakan appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved