
TAIPING – Kementerian Pendidikan (KPM) bersedia menutup sekolah di kawasan yang terjejas sekiranya bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) melebihi 200 mengikut garis panduan yang ditetapkan.
Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata, tindakan itu akan dibuat berdasarkan pemantauan berterusan oleh Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), serta keputusan pentadbir sekolah.
Menurut beliau, KPM mempunyai Surat Pekeliling Ikhtisas (SPI) yang berkuat kuasa, termasuk SPI tahun 2016, 2019 dan 2025, bagi menguruskan situasi jerebu yang boleh menjejaskan kesihatan murid dan warga sekolah.
“JPN dan PPD akan memantau keadaan serta bacaan IPU yang diumumkan dari semasa ke semasa. Jika bacaan IPU melebihi 100, pihak sekolah akan menghentikan semua aktiviti luar bilik darjah yang melibatkan murid, manakala aktiviti keramaian dan sukan di luar bangunan juga disarankan untuk ditangguhkan.
“Sekiranya bacaan IPU melebihi 200, sekolah yang berada di kawasan tersebut boleh ditutup berdasarkan keputusan pihak pentadbir sekolah atas nasihat JPN dan PPD,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara Toyo Tyre Malaysia Sdn. Bhd. (TTM) dan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) di Hotel Taiping Perdana di sini hari ini.- KOSMO! ONLINE
The post Jerebu: KPM sedia tutup sekolah jika IPU lebih 200 appeared first on Kosmo Digital.






