Dua ‘chemist’ dipercayai warga Kanada, Australia dalangi makmal dadah

17 Sep 2026 • 5:35 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Dua ‘chemist’ dipercayai warga Kanada, Australia dalangi makmal dadah

KUALA LUMPUR – Dua lelaki warga asing masing-masing yang memegang pasport Kanada dan Australia dipercayai mendalangi sindiket pemprosesan dan pengedaran dadah yang ditumpaskan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman menerusi Op Rumbia, 10 September lalu.

Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, seramai 11 suspek berusia antara 25 hingga 48 tahun ditahan menerusi enam serbuan dijalankan di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur.

“Daripada 11 orang yang ditahan, dua daripada mereka yang merupakan warga asing adalah ketua sindiket dan juga berperanan sebagai ‘chemist’ (ahli kimia).

“Hasil semakan mendapati lelaki yang memegang pasport Australia dipercayai merupakan warga Vietnam, manakala seorang lagi yang memiliki pasport Kanada disyaki warga Korea Selatan,” katanya pada sidang akhbar di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur, di sini hari ini.

Menurut Hussein, kedua-dua suspek memasuki Malaysia menggunakan pas lawatan sosial, manakala bahan mentah yang digunakan untuk memproses dadah juga dipercayai diperoleh dari luar negara.

Mengulas mengenai Op Rumbia, Hussein berkata, serbuan pertama di sebuah rumah banglo di Ampang membawa kepada penemuan 345 kilogram (kg) serbuk disyaki methamphetamine dan 347 kg cecair disyaki methamphetamine, selain 320 gram serbuk MDMA.

“Polis turut menemui sepucuk pistol revolver .38 bersama tujuh butir peluru hidup serta pelbagai mesin dan peralatan dipercayai digunakan untuk memproses dadah.

“Serbuan kedua pula membabitkan sebuah kondominium di sekitar Petaling yang menemukan 30.5 kg serbuk MDMA, 20 gram ganja dan 63 gram pil Erimin 5,” ujarnya.

Dalam pada itu, Hussein berkata, serbuan ketiga hingga keenam telah dijalankan di sekitar Kepong dan Brickfields, manakala serbuan premis kelima di Subang Jaya dipercayai sedang disiapkan sebagai makmal dadah.

Beliau berkata, jumlah keseluruhan rampasan dadah dianggarkan bernilai RM35.24 juta sindiket disyaki dipercayai aktif sejak Januari lalu dengan modus operandi menjadikan rumah banglo di kawasan perumahan sebagai makmal memproses dadah.

“Dadah yang dirampas dipercayai melebihi keperluan pasaran tempatan dan disasarkan untuk pasaran antarabangsa. Antara laluan yang dikenal pasti termasuk dari Semenanjung ke Indonesia, Sabah, Sarawak dan Filipina, selain beberapa negara lain melalui laluan udara,” katanya.

Tambahnya, hasil serbuan, polis turut merampas 11 buah kenderaan serta satu utas jam tangan jenama Audemar Piguet bernila lebih RM1 juta termasuk dua kad bank dan wang tunai RM3,610.

Hussein berkata, lima suspek direman antara 13 hingga 14 hari, manakala enam lagi dibebaskan dengan jaminan polis dan dijadikan saksi. – KOSMO! ONLINE

The post Dua ‘chemist’ dipercayai warga Kanada, Australia dalangi makmal dadah appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved