KOTA BHARU – Seni persembahan dikir labo yang pernah menjadi hiburan masyarakat Melayu di Kelantan suatu ke**media[3533058]**tika dahulu kini semakin tenggelam apabila hanya tinggal tiga kumpulan aktif yang masih mempertahankan warisan berusia lebih 70 tahun itu.
Lebih membimbangkan, generasi muda dilihat semakin kurang mengenali seni tradisi berkenaan sehingga menimbulkan kebimbangan ia bakal pupus ditelan zaman jika tidak dipelajari dan diwariskan.
Tok jogho Kumpulan Sri Remaja Kok Keli, Mohd Razi Che Wi, 52, berkata, dikir labo bukan sekadar hiburan biasa, sebaliknya mempunyai sejarah panjang dan unik yang lahir lebih awal daripada dikir barat.
Menurut beliau, seni itu dipercayai telah wujud sekitar tahun 1950-an dan dimainkan oleh tok guru serta imam pada ketika itu.
"Orang lama dulu cerita, dikir berasal dari Thailand dan dipanggil dikir barat sebab masyarakat kita masa itu memanggil sebelah Siam sebagai ‘alik barat’.
"Daripada situlah lahirnya nama dikir barat yang kita kenal sampai hari ini," katanya yang merupakan orang kelainan upaya (OKU) cacat penglihatan ketika ditemui Sinar Harian.
**media[3533059]**
Mohd Razi memberitahu, berbeza dengan dikir barat moden, dikir labo mempunyai keunikan tersendiri kerana menggunakan bahasa Parsi yang diolah mengikut lenggok tempatan supaya mudah disebut oleh pemain.
Ujarnya, sehingga kini maksud sebenar bait-bait lagu tersebut masih menjadi tanda tanya termasuk dalam kalangan mereka sendiri.
"Kita pernah tanya ustaz yang belajar bahasa Arab pun dia tidak faham bahasa Parsi dalam lagu itu.
"Namun orang tua dulu cukup kreatif apabila mereka ubah lenggok dan sebutan supaya mudah dinyanyikan," katanya.
Beliau yang mempunyai pengalaman lebih 25 tahun dalam seni itu berkata, minat terhadap dikir labo diwarisi daripada ahli keluarganya sendiri dan diteruskan demi memastikan seni berkenaan tidak hilang begitu sahaja.
Menurutnya, persembahan dikir labo juga jauh lebih mencabar kerana memerlukan stamina serta kekuatan vokal yang tinggi.
Ujar beliau, setiap pemain perlu menyanyi secara seragam mengikut nada selain menggayakan hayunan kipas yang menjadi identiti utama persembahan tersebut.
"Kalau nada tinggi, semua kena tinggi. Kalau rendah, semua kena rendah. Suara memang perlu kuat dan persembahan ini sangat memenatkan.
"Dalam masa sama, pemain juga perlu menghayunkan kipas mengikut rentak lagu," katanya.
Mohd Razi memberitahu, pada tahun 2026 hanya tiga kumpulan masih aktif mempersembahkan dikir labo iaitu di Kok Keli, Pasir Mas; Tujuh, Tumpat dan Limbat, Pasir Mas.
Menurutnya, walaupun semakin dilupakan, permintaan terhadap persembahan itu masih ada.
Kata beliau, kumpulan mereka menerima sekitar empat hingga lima undangan setahun dengan persembahan paling jauh pernah diadakan di Kuala Lumpur.
"Bayaran sekitar RM1,500 untuk satu persembahan melibatkan 15 pemain.
"Paling muda berusia sekitar 17 tahun manakala paling tua ialah saya sendiri," katanya.
Tambah beliau, usaha memelihara seni tradisi itu perlu dipergiat terutama dalam kalangan generasi muda supaya warisan berkenaan tidak berkubur begitu sahaja.
"Kalau tidak belajar dan tidak ada pelapis, generasi akan datang mungkin langsung tidak kenal apa itu dikir labo," katanya.





