Pemulihan keuntungan OpCos mampu tingkatkan penilaian saham Axiata, kata penganalisis

Business & Finance
12 Aug 2026 • 2:39 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Pemulihan keuntungan OpCos mampu tingkatkan penilaian saham Axiata, kata penganalisis Image from: Pemulihan keuntungan OpCos mampu tingkatkan penilaian saham Axiata, kata penganalisis hamden12/08/2026 - 14:39 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 12 Ogos - Penjanaan semula nilai Edotco dan Link Net, pertumbuhan dividen serta pemulihan keuntungan syarikat operasi utama (OpCos) menjadi antara pemangkin utama yang boleh meningkatkan semula penilaian Axiata Group Bhd dalam tempoh akan datang, menurut penganalisis pasaran.

 

UOB Kay Hian Research (UOBKH) berkata proses penjanaan nilai perniagaan menara telekomunikasi Edotco masih dalam perancangan dan berpotensi dilaksanakan secara berperingkat, termasuk penjualan sebahagian aset atau tawaran awam permulaan (IPO) tahun ini.

 

Katanya, pengurusan Axiata sedang menilai pelbagai struktur bagi merealisasikan nilai Edotco, termasuk IPO atau strategi hibrid yang menggabungkan IPO dengan pelupusan aset serantau terpilih.

 

Menurutnya, penjanaan nilai awal atau sebahagian Edotco berpotensi diselesaikan pada 2026, bergantung kepada penilaian serta keadaan pasaran semasa.

 

“Analisis kami menunjukkan penilaian Edotco adalah mempunyai nilai tambah kepada pendapatan pada 10 kali nilai perusahaan berbanding pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA),” katanya dalam nota penyelidikan.

 

Sementara itu, CGS International (CGSI) berkata Axiata turut meneruskan usaha penjanaan asetnya di Indonesia menerusi Link Net.

 

Menurut firma itu, proses penjanaan nilai Link Net kelihatan tertangguh berikutan perubahan keadaan makroekonomi di pasaran tersebut, dengan perbincangan masih berlangsung bersama pihak tempatan.

 

CGSI berkata pelabur secara umumnya telah mengambil kira potensi penjanaan nilai berkenaan, dengan saham Axiata kini didagangkan pada diskaun 40% kepada nilai aset bersih (NAV) yang dinilai semula, dianggarkan sebanyak RM3.19.

 

“Pada pandangan kami, penjanaan aset kekal sebagai pemangkin utama kepada penilaian semula saham Axiata,” katanya.

 

Bagaimanapun, CGSI melihat pertumbuhan keuntungan sebagai pemangkin alternatif, dengan firma itu mengunjurkan CAGR keuntungan bersih teras sebanyak 47% bagi FY26 hingga FY28.

 

Selain itu, hasil dividen FY26 sebanyak 5.8% dijangka memberikan sokongan kepada harga saham serta mengehadkan risiko penurunan.

 

Sumbangan Syarikat Operasi Utama

Dalam pada itu, UOBKH menjangkakan syarikat operasi utama (OpCos) Axiata mencatatkan prestasi pendapatan yang berdaya tahan pada 2Q26, meskipun berdepan tekanan inflasi dan cabaran kemampuan pengguna di pasaran sempadan.

 

Namun, firma penyelidikan itu memberi amaran bahawa risiko utama terhadap prestasi pendapatan pada separuh kedua FY26 ialah pengecilan kuasa beli pengguna susulan konflik Timur Tengah yang berpanjangan.

 

Pihak pengurusan Axiata bagaimanapun kekal yakin OpCos utamanya akan mencatatkan pertumbuhan serta mencapai sasaran sumbangan dividen.

 

Keadaan itu dijangka membantu Axiata mencapai sekurang-kurangnya pertumbuhan dividen tahunan 10% dalam jangka sederhana.

 

Sebagai rekod, OpCos menyumbang dividen sebanyak RM1.7 bilion pada 2025, manakala Edotco membuat pembayaran dividen sulung sebanyak RM53.9 juta kepada pemegang sahamnya.

 

Antara OpCos utama Axiata ialah CelcomDigi, XL Smart, Dialog dan Robi.

 

UOBKH mengekalkan saranan ‘Beli’ terhadap Axiata, tetapi menurunkan harga sasaran (TP) kepada RM2.50 daripada RM3.00 sebelum ini. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved