
PETALING JAYA: Malaysia mengutuk tindakan Israel mengeluarkan tender pembinaan bagi projek penempatan E1.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, tanah di sebelah timur Baitulmuqaddis itu sejak sekian lama penting bagi kelangsungan negara Palestin.
Katanya, pembinaan di kawasan tersebut akan memisahkan Tebing Barat dan menjejaskan secara serius prospek pembentukan tanah air Palestin.
“Penempatan Israel di Tebing Barat yang diduduki adalah tidak sah di sisi undang-undang antarabangsa. Namun, Israel terus bertindak tanpa sebarang rasa takut terhadap akibatnya.
“Keputusan ini dibuat ketika keganasan peneroka terhadap orang awam Palestin di Tebing Barat mencapai tahap yang belum pernah berlaku sebelum ini, selain genosid yang berterusan di Gaza,” katanya menerusi laman sosial Facebook, hari ini.
Katanya, tindakan itu menunjukkan bahawa Israel berpura-pura mencari keamanan dan menghormati tuntutan masyarakat antarabangsa.
Tegas Perdana Menteri, Malaysia berdiri teguh bersama rakyat Palestin serta hak mereka yang tidak boleh dinafikan untuk memiliki sebuah negara Palestin yang berdaulat, berdaya maju, bersambung wilayahnya dan merdeka.
“Malaysia akan mengambil perhatian sewajarnya terhadap mana-mana syarikat antarabangsa yang memilih untuk menyertai tender berkenaan dan akan mengambil tindakan yang sewajarnya,” katanya. – UTUSAN
The post Malaysia kutuk projek penempatan E1 Israel appeared first on Utusan Malaysia.






