
KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan isteri, Tun Dr. Siti Hasmah Mohamad Ali, mencuri perhatian ramai apabila meraikan ulang tahun perkahwinan mereka yang ke-70 dalam satu majlis bersama ahli keluarga di Anjum KLCC.
Momen istimewa itu tular di media sosial menerusi video yang memaparkan pasangan berkenaan menikmati sambutan ringkas berlatarbelakangkan panorama Menara Berkembar Petronas.
Majlis tersebut dipercayai diadakan di Anjum KLCC, berdasarkan kredit @anjumklcc yang tertera pada video yang dikongsikan di media sosial.
Tujuh Dekad Bersama
Tun Dr. Mahathir dan Tun Dr. Siti Hasmah mendirikan rumah tangga pada 5 Ogos 1956, menjadikan tahun ini genap 70 tahun usia perkahwinan mereka.
Sepanjang tempoh itu, pasangan berkenaan bukan sahaja melalui pelbagai fasa kehidupan sebagai suami isteri, malah menjadi antara pasangan paling dikenali di Malaysia yang sering menjadi inspirasi kepada masyarakat.
Dalam video berkenaan, kedua-duanya dilihat ditemani ahli keluarga sambil menerima ucapan sempena ulang tahun perkahwinan mereka.
Raih Ucapan Tahniah Warganet
Perkongsian itu turut dihujani ucapan tahniah dan doa daripada orang ramai yang mendoakan agar kedua-duanya terus dikurniakan kesihatan, kebahagiaan serta umur yang panjang.
Ramai menyifatkan pencapaian melayari bahtera rumah tangga selama tujuh dekad sebagai sesuatu yang luar biasa dan wajar dijadikan inspirasi buat generasi muda. – The Malaysian Update






