liza18/08/2026 - 18:49 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 18 Ogos – Lagenda Properties Berhad mencatat prestasi kewangan terbaik dalam sejarah syarikat bagi tempoh enam bulan pertama berakhir 30 Jun 2026 (1H FY2026) dengan hasil meningkat kepada RM598.4 juta dan untung selepas cukai sebanyak RM100.8 juta.
Prestasi kukuh itu disokong kemajuan pembinaan yang berterusan serta permintaan kukuh terhadap rumah mampu milik dalam projek pembangunan bandar milik kumpulan itu khususnya di Selangor dan Johor.
Bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2026 (2Q FY2026), hasil Lagenda mencecah rekod baharu sebanyak RM336.2 juta, manakala untung selepas cukai (PAT) berjumlah RM56.6 juta.
Menurut Lagenda, prestasi suku kedua itu adalah selaras dengan jangkaan kumpulan, disokong kemajuan pembinaan yang stabil dalam projek-projek utama yang sedang dibangunkan.
“Dengan projek terus bergerak mengikut jadual, kami menjangkakan keuntungan akan meningkat secara berperingkat sepanjang tahun kewangan 2026,” katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia.
Jualan Rumah Kekal Kukuh
Lagenda merekodkan jualan hartanah kira-kira RM503.8 juta pada suku kedua 2026, menjadikan jumlah jualan bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini sekitar RM876.3 juta.
Johor menjadi penyumbang terbesar kepada jualan 1H FY2026, merangkumi kira-kira 50% daripada jumlah keseluruhan jualan kumpulan.
Prestasi di Johor itu didorong permintaan yang kukuh terhadap projek di Kulai dan Kota Tinggi dengan fasa pembangunan baharu turut mencatat sambutan yang memberangsangkan daripada pembeli.
Lagenda berkata sambutan baik terhadap fasa yang baru dilancarkan menunjukkan permintaan terhadap rumah mampu milik kekal kukuh, sekali gus memberikan gambaran yang lebih jelas terhadap potensi pendapatan kumpulan apabila kerja pembinaan diteruskan.
“Kami kekal optimistik secara berhati-hati bahawa momentum ini akan berterusan sepanjang tahun,” kata kumpulan itu, sambil menegaskan tumpuan diberikan kepada pelaksanaan projek yang berdisiplin, penghantaran projek mengikut masa serta mengekalkan harga rumah pada tahap mampu milik.
Jualan Belum Diiktiraf Cecah RM1.75 Bilion
Dari segi prospek, Lagenda merancang mengekalkan momentum pembangunan menerusi pelancaran projek baharu di Sungai Petani, Kedah dan Senawang, Negeri Sembilan.
Kumpulan itu juga akan terus memperluaskan pembangunan dalam projek bandar sedia ada bagi memenuhi permintaan terhadap rumah mampu milik di pasaran utamanya.
Lagenda mempunyai jualan belum diiktiraf (unbilled sales) pada paras rekod kira-kira RM1.75 bilion, yang menjadi asas kukuh untuk pengiktirafan hasil pada masa akan datang apabila projek-projek berkenaan terus mencapai kemajuan pembinaan.
Selain itu, kumpulan itu mempunyai simpanan tanah kira-kira 3,998 ekar dengan anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) RM10.28 bilion, sekali gus menyediakan saluran pembangunan yang besar untuk menyokong pertumbuhan hasil dan pengembangan pada masa depan.
Dalam perkembangan sama, Lagenda mengumumkan dividen interim pertama satu peringkat sebanyak 3.5 sen sesaham biasa, membabitkan jumlah pembayaran kira-kira RM29.13 juta kepada pemegang saham.
Pada penutupan dagangan, saham Lagenda ditutup pada RM1.46, memberikan kumpulan itu nilai pasaran kira-kira RM1.22 bilion. - DagangNews.com






