Untung bersih Dutch Lady naik 63.2% pada 2QFY26 berikutan kos lebih rendah, kesan tukaran asing

LocalBusiness & Finance
18 Aug 2026 • 5:27 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Untung bersih Dutch Lady naik 63.2% pada 2QFY26 berikutan kos lebih rendah, kesan tukaran asing Image from: Untung bersih Dutch Lady naik 63.2% pada 2QFY26 berikutan kos lebih rendah, kesan tukaran asing liza18/08/2026 - 17:27 Kilang Dutch Lady di Bandar Enstek, Negeri Sembilan - Gambar Kamaliza Kamaruddin/DagangNews Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 18 Ogos – Dutch Lady Milk Industries Berhad (DLMI) mencatat lonjakan keuntungan bersih 63.2% kepada RM38.18 juta bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2026 berbanding RM23.40 juta dalam tempoh sama tahun sebelumnya, meskipun hasil meningkat sederhana sebanyak 2.9% kepada RM386.55 juta daripada RM375.61 juta.

 

Peningkatan keuntungan itu didorong pertumbuhan jualan susu cecair teras Dutch Lady, pelancaran semula produk dengan identiti pembungkusan baharu, momentum kukuh saluran jualan luar rumah serta sumbangan inovasi seperti Dutch Lady Omega 3*6 dan rangkaian baharu Dutch Lady Tealive. 

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, ia berkata kejayaan mendapatkan pelanggan baharu dalam saluran luar rumah turut menyokong prestasi tersebut. 

 

“Keuntungan operasi DLMI melonjak 53.6% kepada RM52.13 juta daripada RM33.94 juta manakala keuntungan sebelum cukai meningkat 59% kepada RM50.85 juta daripada RM31.98 juta.

 

“Peningkatan itu disokong hasil yang lebih tinggi, kesan positif kadar pertukaran asing serta ketiadaan kos sekali sahaja berkaitan peralihan operasi yang berjumlah RM5.6 juta pada 2QFY25,” katanya.

 

Bagi tempoh enam bulan pertama 2026, hasil meningkat 4.7% kepada RM784.39 juta daripada RM749 juta manakala keuntungan operasi meningkat 37.3% kepada RM94.36 juta. 

 

Keuntungan sebelum cukai naik 41% kepada RM91.54 juta, sementara keuntungan selepas cukai melonjak 40.7% kepada RM68.13 juta daripada RM48.43 juta. 

 

Pertumbuhan Jualan Dan Margin Keuntungan

Walaupun hasil 2Q26 meningkat berbanding setahun sebelumnya, ia sebenarnya susut 2.8% daripada RM397.84 juta pada suku pertama 2026. 

 

DLMI berkata penurunan itu disebabkan jumlah jualan yang lebih rendah selepas permintaan kukuh ketika musim perayaan dan sokongan program Sumbangan Asas Rahmah (SARA) pada suku sebelumnya. 

 

Bagaimanapun, penurunan hasil secara suku ke suku itu diimbangi sebahagiannya oleh campuran produk yang lebih menguntungkan serta pertumbuhan berterusan dalam saluran jualan luar rumah melalui pelanggan baharu. 

 

Prestasi keuntungan turut mendapat sokongan daripada kos barangan yang lebih rendah dan campuran produk yang lebih baik. 

 

Dari segi kos input, harga bahan mentah tenusu kekal relatif stabil sepanjang separuh pertama 2026, manakala kekuatan ringgit membantu mengurangkan sebahagian tekanan inflasi terhadap kos import. 

 

Bagaimanapun, syarikat terus memantau kos tenaga, logistik dan bahan mentah serta risiko turun naik mata wang asing. 

 

Kedudukan Kewangan Dan Aliran Tunai

Kedudukan kewangan DLMI turut bertambah baik apabila baki pinjaman antara syarikat susut kepada AS$7 juta atau RM28.55 juta pada 30 Jun 2026 daripada AS$22.1 juta atau RM90.63 juta pada akhir Disember 2025.

 

Pengurangan itu susulan pembayaran balik AS$15.1 juta dan mencerminkan penjanaan tunai yang lebih kukuh serta kebergantungan lebih rendah terhadap pinjaman. 

 

Kemudahan pinjaman antara syarikat itu pula telah diperbaharui sehingga 31 Mac 2027 dengan had AS$15 juta berbanding AS$35 juta sebelum ini.

 

Bagi enam bulan pertama 2026, DLMI menjana RM58.89 juta tunai daripada aktiviti operasi, meningkat daripada RM37.29 juta setahun sebelumnya. Namun, baki tunai dan setara tunai pada akhir Jun susut kepada RM58.97 juta daripada RM92.57 juta pada akhir 2025, antaranya disebabkan pembayaran balik pinjaman RM60.48 juta dan pembayaran dividen RM19.2 juta. 

 

Perbelanjaan modal juga jauh lebih rendah dengan tambahan bagi hartanah, loji dan peralatan berjumlah RM7.85 juta dalam enam bulan pertama 2026 berbanding RM40.25 juta pada tempoh sama tahun sebelumnya. 

 

Pada masa sama, DLMI membayar dividen RM19.2 juta, meningkat daripada RM16 juta setahun sebelumnya.  

 

Prospek 2026 Kekal Berhati-Hati Tetapi Positif

Bagi 2026, DLMI menyifatkan prospeknya sebagai berhati-hati tetapi positif, disokong permintaan domestik yang sihat, aktiviti pelaburan dan pasaran buruh yang stabil. 

 

Syarikat melihat permintaan terhadap produk pemakanan asas seperti susu kekal berdaya tahan, manakala program SARA terus membantu perbelanjaan isi rumah dalam kalangan kumpulan pengguna yang disasarkan. 

 

DLMI akan terus memberi tumpuan kepada pengurusan kos, memastikan bekalan bahan mentah mencukupi, memperkemas struktur organisasi, mengurangkan asas kos tetap serta memperkukuh modal kerja bagi menghadapi potensi tekanan inflasi.

 

Syarikat juga akan terus melabur dalam jenama dan melancarkan inovasi produk pemakanan tenusu. 

 

Dalam perkembangan operasi, DLMI telah menyelesaikan sepenuhnya peralihan operasi pengeluaran ke kemudahan pembuatan dan pusat pengedaran baharu berteknologi IR4.0 di Bandar Enstek, Negeri Sembilan.

 

Kemudahan itu meningkatkan kecekapan operasi, mengukuhkan daya tahan rantaian bekalan dan menyediakan kapasiti untuk pertumbuhan jangka panjang. 

 

Dengan permintaan produk tenusu yang masih berdaya tahan serta operasi baharu di Bandar Enstek yang sudah beroperasi sepenuhnya, syarikat kekal fokus untuk mengukuhkan kedudukannya dalam industri tenusu Malaysia sambil menyokong pengeluar susu tempatan. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved