8 lelaki termasuk pelajar terlibat kes gaduh dekat sekolah ditahan polis

Local
21 May 2026 • 1:35 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: 8 lelaki termasuk pelajar terlibat kes gaduh dekat sekolah ditahan polis
Polis menahan lapan lelaki tempatan termasuk pelajar kerana disyaki terlibat dalam pergaduhan. Gambar hiasan

SHAH ALAM - Polis menahan lapan lelaki tempatan termasuk pelajar kerana disyaki terlibat dalam pergaduhan berhampiran sebuah sekolah menengah di Klang, dekat sini pada Selasa lepas. 

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Lim Jit Huey berkata, suspek berusia 14 hingga 24 tahun ditahan pasukan Bahagian Siasatan Jenayah selepas pihaknya menerima laporan kejadian pada 1 pagi semalam.

"Siasatan awal mendapati sebahagian daripada individu ditahan berstatus pelajar manakala selebihnya sudah tidak bersekolah.

"Punca dan motif pergaduhan dipercayai akibat perselisihan faham dan ejek-mengejek antara dua kumpulan yang terlibat,” katanya menerusi kenyataan di sini pada Khamis.

Jit Huey berkata, kejadian itu tidak melibatkan sebarang unsur kongsi gelap atau kumpulan gangsterisme.

Permohonan reman terhadap semua suspek akan dibuat di Mahkamah Majistret Klang hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. 

Jit Huey menasihatkan orang ramai tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih di media sosial yang boleh menimbulkan kegusaran awam dan menjejaskan siasatan.

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu menyalurkannya ke Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan atau balai polis berhampiran bagi membantu siasatan. - Bernama 

View Original Article