80,412 anjing terbiar ditangkap tahun lalu

30 Oct 2026 • 3:17 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: 80,412 anjing terbiar ditangkap tahun lalu
Sebanyak 80,412 ekor anjing terbiar ditangkap PBT di seluruh negara menerusi 24,195 operasi sepanjang tahun lalu. Foto hiasan

KUALA LUMPUR – Sebanyak 80,412 ekor anjing terbiar ditangkap pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh negara menerusi 24,195 operasi sepanjang tahun lalu.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming berkata, dalam tempoh sama, sebanyak 45,804 aduan berkaitan kacau ganggu anjing terbiar diterima PBT, sekali gus menunjukkan isu berkenaan terus menjadi antara kebimbangan keselamatan penduduk.

Menurutnya, tindakan kawalan terhadap anjing terbiar dipertingkatkan susulan insiden serangan terhadap seorang kanak-kanak baru-baru ini yang dilaporkan melibatkan lima ekor anjing tidak bertuan.

"Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah membuka dua kertas siasatan susulan kejadian berkenaan, masing-masing di bawah Seksyen 289 Kanun Keseksaan berkaitan kecuaian berkenaan haiwan dan Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 berkaitan pengabaian kanak-kanak," katanya dalam jawapan bertulis di Parlimen.

Terdahulu, Ahli Parlimen Tumpat, Datuk Mumtaz Md Nawi (PN) meminta KPKT menyatakan tindakan terhadap pemilik haiwan yang mengakibatkan kecederaan serius kepada orang awam, selain langkah segera dan strategi jangka panjang menangani peningkatan populasi anjing terbiar yang mengancam keselamatan penduduk, khususnya di kawasan perumahan dan sekolah.

Kor Ming memaklumkan, kementerian melalui surat bertarikh 9 September lalu telah mengarahkan PBT di seluruh negara meningkatkan tindakan kawalan terhadap anjing terbiar secara berterusan.

"Langkah itu memberi keutamaan kepada kawasan yang dikenal pasti sebagai lokasi panas berisiko tinggi berdasarkan aduan awam dan rekod kejadian, termasuk kawasan perumahan, sekolah serta lokasi tumpuan.

"Daripada keseluruhan 80,412 ekor anjing yang ditangkap, sebanyak 22,228 ekor direkodkan telah diserahkan kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV), dituntut semula pemilik dan diadopsi menerusi program anjing angkat," jelas beliau.

Selain operasi tangkapan secara berkala, Ahli Parlimen Teluk Intan berkata, PBT turut melaksanakan pemeriksaan pemilikan dan pelesenan anjing di kawasan perumahan bagi memastikan pemilik mematuhi undang-undang kecil pelesenan anjing yang berkuat kuasa.

Dalam aspek penguatkuasaan, Kor Ming menjelaskan pemilik anjing boleh dikenakan kompaun sekiranya haiwan peliharaan mereka mengejar, menyerang atau menggigit mana-mana individu, sama ada menyebabkan kecederaan atau tidak.

"Pemilik juga bertanggungjawab membayar ganti rugi bagi kecederaan yang disebabkan anjing masing-masing, manakala PBT boleh menangkap dan membinasakan anjing yang terlibat dalam kes gigitan.

"Bagi anjing yang berkeliaran tanpa kawalan atau tidak berlesen, PBT boleh mengambil tindakan tangkapan. Sekiranya haiwan itu dituntut semula, pemilik boleh dikenakan kompaun serta caj berkaitan dan diwajibkan mendapatkan lesen sekiranya belum berlesen.

"Selain itu, kes kecuaian mengawal haiwan sehingga mendatangkan bahaya atau kecederaan kepada orang awam juga boleh disiasat di bawah Seksyen 289 Kanun Keseksaan," katanya.

Bagi strategi jangka panjang, beliau menjelaskan kementerian melalui Jabatan Kerajaan Tempatan (JKT) memberi penekanan kepada langkah pencegahan bagi mengurangkan pertambahan populasi anjing terbiar menerusi peningkatan pematuhan pelesenan, pemilikan haiwan secara bertanggungjawab, pemandulan, pemasangan mikrocip, adopsi serta penglibatan komuniti.

"KPKT turut melaksanakan Kempen Pengurusan Haiwan Terbiar bersama PBT sejak 2024 bagi meningkatkan kesedaran masyarakat dan memupuk amalan pemilikan haiwan secara bertanggungjawab, khususnya bagi mencegah pembuangan serta pengabaian anjing peliharaan yang boleh menyumbang kepada pertambahan populasi haiwan terbiar," katanya.

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved