
KOTA BHARU – Kerajaan negeri Kelantan membuka sebanyak 100 kertas siasatan berkait kegiatan perlombongan pelbagai jenis mineral secara haram yang berlaku di seluruh negeri ini sepanjang tempoh hampir dua tahun.
Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohamed Fadzli Hassan berkata, kes yang berlaku bermuka 2024 hingga September lalu itu disiasat mengikut Seksyen 158 Enakmen Mineral Negeri Kelantan 2001.
Katanya, daripada jumlah itu, sebanyak 49 kes telah diselesaikan manakala 51 kes lagi masih dalam siasatan.
“Kesemua kertas siasatan itu dibuka selepas sebanyak 104 operasi penguatkuasaan bersepadu dijalankan oleh agensi kerajaan negeri bersama pasukan keselamatan.
“Kerajaan negeri telah menyita jentera, tapak perlombongan dan pemusnahan peralatan mendulang secara haram di bawah Enakmen Mineral Negeri Kelantan 2001,” katanya ketika menjawab soalan Nik Bahrum Nik Abdullah (Pas-Chempaka) pada Persidangan Kali Ketiga Belanjawan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan di Kompleks Kota Darulnaim di sini hari ini.
Mohamed Fadzli memberitahu, penahanan dan pendakwaan pihak yang menceroboh dalam kes tersebut sudah dilakukan.
Katanya, kadar denda dan kompaun juga dinaikkan bagi kesalahan berulang untuk memberi kesan pengajaran.
“Selain itu, kawalan pencegahan turut diperkukuh menerusi pemasangan papan tanda amaran dan pemantauan udara menggunakan teknologi dron di kawasan berisiko tinggi,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post Kelantan buka 100 kertas siasatan kes lombong mineral haram appeared first on Kosmo Online.






