Konvoi kemerdekaan perkukuh hubungan polis, masyarakat

20 Aug 2026 • 3:42 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Konvoi kemerdekaan perkukuh hubungan polis, masyarakat

SEPANG: Konvoi Kenderaan sempena Sambutan Bulan Kemerdekaan ke-69 melibatkan kira-kira 50 kenderaan motosikal dan kereta daripada aset Polis Diraja Malaysia (PDRM) di daerah Sepang.

Ketua Polis Daerah Sepang, ACP Norhizam Bahaman berkata, program berkenaan memberi peluang kepada masyarakat khususnya golongan kanak-kanak untuk mengenali lebih dekat peranan serta aset pasukan keselamatan.

Katanya, pemilihan sekolah sebagai salah satu lokasi program dibuat berdasarkan kepelbagaian kaum dalam kalangan murid bagi menggalakkan semangat perpaduan sejak di bangku sekolah.

“Kita pilih sekolah yang muridnya terdiri daripada pelbagai kaum kerana kita mahu semangat merdeka dan perpaduan itu dipupuk sejak kecil,” katanya ketika ditemui pada Flag-Off Konvoi Kenderaan sempena Sambutan Bulan Kemerdekaan ke-69 di sini, hari ini.

Norhizam berkata, pendekatan turun padang itu penting bagi memastikan hubungan antara polis dengan masyarakat terus diperkukuh dan tidak wujud jurang antara kedua-dua pihak.

“Polis dan masyarakat berpisah tiada dan inilah yang kita mahu tonjolkan melalui program seperti ini,” katanya.

Beliau berkata, program berkenaan turut memberi peluang kepada murid melihat serta menaiki kenderaan polis, sekali gus memberikan pengalaman baharu kepada mereka.

Katanya, kira-kira 800 murid terlibat dalam program berkenaan sebagai sebahagian daripada usaha PDRM mendekati golongan masyarakat.

Norhizam berkata, pihaknya mahu aktiviti seumpama itu diperluaskan kepada masyarakat dan tidak hanya tertumpu dalam badan beruniform sahaja.

“Dulu kita buat program di peringkat IPD sahaja, tetapi tahun ini kita bawa keluar kepada masyarakat supaya dapat melihat eratnya perpaduan kaum dan hubungan polis dengan masyarakat,” katanya.

Katanya, sambutan positif yang diberikan murid terhadap kehadiran anggota polis menunjukkan hubungan antara masyarakat dan pasukan keselamatan perlu terus dipupuk sejak usia muda.

Sementara itu, menurutnya, pihaknya akan mempertingkatkan pemantauan di kawasan Salak Perdana susulan dakwaan berlaku aktiviti lumba motosikal pada awal pagi yang tular di media sosial baru-baru ini.

Katanya, mereka menerima maklumat berhubung dakwaan itu semalam dan sudah mengarahkan Ketua Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (KBSJD) daerah berkenaan menjalankan pemantauan.

“Kita memang sudah ada pemantauan sejak seminggu yang lepas, tetapi perkara ini dari masa ke masa akan berlaku apabila mereka keluar pada waktu tengah malam,” katanya.

Norhizam berkata, pihaknya akan menggerakkan unit kereta peronda (MPV) ke lokasi berdasarkan maklumat yang diterima bagi mengesan dan meleraikan kumpulan terbabit.

Namun begitu, beliau berkata, kerjasama ibu bapa amat penting bagi memastikan anak-anak tidak keluar berkeliaran di jalan raya pada awal pagi kerana boleh mengundang risiko keselamatan.

“Saya harap ibu bapa ambil peranan memastikan anak-anak ini pada pukul 2 atau 3 pagi tidak berkeliaran di jalan raya kerana jika musibah melanda, sudah tidak ada gunanya,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya turut memandang serius isu gejala mat rempit yang masih berlaku di beberapa kawasan dan akan terus mempergiatkan operasi serta pendekatan pencegahan bagi membanteras aktiviti berkenaan.

Katanya, selain tindakan penguatkuasaan, pendekatan mendekati golongan muda melalui program komuniti dan pendidikan dilihat penting bagi memberi kesedaran tentang bahaya serta implikasi aktiviti tersebut terhadap keselamatan diri dan orang awam. – UTUSAN

The post Konvoi kemerdekaan perkukuh hubungan polis, masyarakat appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved