Polis serbu ‘gudang’ dadah RM7.93 juta dalam rumah mewah

20 Aug 2026 • 11:30 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Polis serbu ‘gudang’ dadah RM7.93 juta dalam rumah mewah

JOHOR BAHRU – Sindiket pengedaran dadah yang dipercayai menjadikan rumah dalam kawasan perumahan berpagar dan dikawal keselamatan sebagai stor penyimpanan tumpas selepas polis merampas dadah bernilai RM7.93 juta dalam tiga serbuan di Seri Alam, di sini, 12 Ogos lalu.

Operasi kira-kira pukul 3.45 petang itu dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam, membawa kepada penahanan lapan lelaki tempatan dan seorang wanita warga asing berusia antara 35 hingga 65 tahun.

Timbalan Ketua Polis Johor, Deputi Komisioner Hoo Chuan Huat berkata, dalam serbuan pertama di sebuah rumah di Masai, polis menahan tiga lelaki sebelum menemukan 39.809 kilogram (kg) serbuk disyaki MDMA, 4.91kg ketamin dan 13,400 biji pil Erimin 5 seberat 3.85kg.

“Turut dirampas dalam serbuan sama ialah 216 gram syabu, 22.72kg serbuk disyaki ekstasi serta dua mesin yang dipercayai digunakan untuk memproses ekstasi selain peralatan pembungkusan semula dadah.

“Serbuan kedua di sebuah rumah rakit di Masai pula membawa kepada penahanan empat lelaki tempatan dan polis menemukan 572 gram serbuk disyaki ekstasi,”katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini hari ini.

Chuan Huat berkata, dalam serbuan ketiga di sebuah rumah di Ulu Tiram, seorang lelaki tempatan dan seorang wanita warga asing ditahan sebelum polis merampas 230 katrij cecair disyaki syabu sebanyak 0.575 liter, 1.149kg serbuk ekstasi dan 358 gram syabu.

Jelasnya, turut ditemukan ialah 9,625 biji pil Erimin 5 seberat 1.925kg serta 18.4 liter cecair disyaki ketamin yang disimpan dalam 24 botol plastik.

“Secara keseluruhan, rampasan membabitkan 40.381kg serbuk MDMA, 23.869kg serbuk ekstasi, 23,025 biji pil Erimin 5 seberat 5.775kg, 574 gram syabu, 4.91kg ketamin, 18.4 liter cecair ketamin dan 0.575 liter cecair syabu.

“Jumlah dadah berkenaan dianggarkan mampu merosakkan sehingga 323,841 orang jika berada di pasaran,”katanya.

Menurutnya, sindiket berkenaan dipercayai aktif sejak Januari lalu dengan modus operandi menjadikan rumah ‘gated and guarded’ sebagai stor sebelum bekalan dadah diedarkan ke pasaran tempatan.

Siasatan mendapati setiap suspek mempunyai peranan masing-masing termasuk sebagai runner, pembantu, penjaga stor, mekanik bot dan penjaga rumah rakit, manakala seorang lagi dipercayai menjadi dalang sindiket serta seorang suspek dipercayai terlibat dalam pemprosesan pil ekstasi dan katrij vape.

Kesemua suspek direman sehingga 25 Ogos ini dan enam daripada sembilan suspek mempunyai rekod kesalahan lampau berkaitan dadah, manakala saringan awal air kencing mendapati kesemua mereka positif methamphetamine.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan polis turut menyita lima kereta, dua bot laju serta wang tunai RM11,320 dengan nilai keseluruhan rampasan dan sitaan mencecah RM8.14 juta.

Sementara itu, beliau berkata, Polis Johor melupuskan 532.76kg pelbagai jenis barang kes dadah bernilai RM40.02 juta dari tahun 1999 hingga 2025. – KOSMO! ONLINE

The post Polis serbu ‘gudang’ dadah RM7.93 juta dalam rumah mewah appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved