Lima ditahan, barangan seludup RM12.8 juta dirampas

21 Aug 2026 • 6:07 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Lima ditahan, barangan seludup RM12.8 juta dirampas

KUALA LUMPUR: Pelbagai barangan seludup bernilai kira-kira RM12.8 juta dirampas selepas dua premis dipercayai digunakan sebagai pusat penyimpanan dan pengumpulan sementara sebelum barangan berkenaan diedarkan kepada pelanggan tempatan digempur polis.

Turut ditahan lima individu yang disyaki membabitkan kegiatan penyeludupan dan pelanggaran peraturan import di Kuala Lumpur dan Klang, Selangor.

Operasi itu hasil kerjasama antara Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) bersama pelbagai agensi penguat kuasa menerusi perkongsian maklumat serta risikan pada 5 Ogos lalu.

Timbalan Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (Gerakan/Operasi) Bukit Aman, Muhammad Abdul Halim berkata, meneruso Op Taring Alpha 2 yang dijalankan telah membawa kepada penahanan tiga individu terdiri daripada dua warga Myanmar dan seorang warga tempatan.

“Kebanyakan barangan berkenaan dipercayai dibawa masuk melalui pelabuhan menggunakan dokumen yang mengisytiharkan kandungan berbeza daripada barangan sebenar, manakala kegiatan itu dipercayai sudah beroperasi lebih enam bulan,” katanya dalam sidang akhbar di Bukit Aman di sini hari ini.

Katanya, dalam serbuan di dua lokasi di Kuala Lumpur membawa kepada rampasan minuman keras pelbagai jenama serta produk makanan dan minuman dari China dengan nilai keseluruhan kira-kira RM5.1 juta.

“Antara rampasan ialah 112 tin dan 3,696 botol minuman keras pelbagai jenama bernilai kira-kira RM2.57 juta, selain 4,092 botol minuman keras jenama Zongpi CR bernilai kira-kira RM2.7 juta.

“Turut dirampas pelbagai produk makanan dan minuman dari China bernilai kira-kira RM56,000,” jelasnya.

Dalam pada itu, Muhammad berkata, pihaknya turut melancarkan Op Taring Alpha 5 di Klang dan membawa kepada penahanan dua lelaki tempatan dan rampasan pelbagai barangan bernilai kira-kira RM7.7 juta.

Katanya, rampasan itu termasuk minuman keras dari China bernilai RM2.1 juta, 245 karton rokok putih bersamaan 49,000 batang bernilai hampir RM300,000 serta 1,800 topi keledar bernilai RM1.8 juta.

“Selain itu, kita merampas 780 set aksesori telefon bernilai RM936,000, produk kecantikan bernilai RM2.29 juta serta 260 pokok bonsai berpasu pelbagai saiz dan jenis bernilai RM260,000,” katanya.

Dalam perkembangan lain, kata beliau, sebanyak 240 serbuan di seluruh negara dengan 413 individu ditahan dan nilai keseluruhan rampasan mencecah RM314 juta. – UTUSAN

The post Lima ditahan, barangan seludup RM12.8 juta dirampas appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved