859,750 pengundi bakal tentukan masa depan Negeri Sembilan hari ini

LocalPolitics
1 Aug 2026 • 7:05 AM MYT
MYBERITA
MYBERITA

Segalanya yang terkini, terbaik dan tepat untuk anda semua

859,750 pengundi bakal tentukan masa depan Negeri Sembilan hari ini

SEREMBAN – Negeri Sembilan bersedia memasuki detik penentu apabila seramai 859,750 pengundi dijadual menunaikan tanggungjawab pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan Ke-16 hari ini bagi memilih wakil rakyat di 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memaklumkan, proses pengundian akan berlangsung di 401 pusat mengundi melibatkan 1,668 saluran, yang dibuka bermula jam 8 pagi sebelum ditutup pada jam 6 petang.

Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun berkata, daripada keseluruhan 889,940 pengundi berdaftar, seramai 7,391 pengundi telah pun melaksanakan tanggungjawab melalui undi pos.

“Sebanyak 401 pusat mengundi akan dibuka bermula jam 8 pagi membabitkan 1,668 saluran yang akan ditutup jam 6 petang.

“Seramai 15,344 petugas pilihan raya akan terbabit dalam proses mengundi esok. Selain itu, sebanyak 267 kesalahan pilihan raya direkodkan sepanjang tempoh berkempen,” katanya selepas meninjau proses semakan isi peti undi PRN Negeri Sembilan di Dewan Perdana Tampin, semalam.

Menurut beliau, proses semakan isi peti undi yang dijalankan di seluruh negeri berjalan lancar dengan semua persiapan berada pada tahap memuaskan menjelang hari pengundian.

“Di Parlimen Tampin, semakan isi peti undi bagi tiga DUN iaitu Gemas, Gemencheh dan Repah dijalankan di Dewan Perdana Tampin.

“Sepanjang tinjauan pagi ini, saya lihat semuanya dalam keadaan baik dan kami sentiasa bersiap siaga untuk menjalankan tugas dengan baik esok,” katanya.

Ramlan berkata, SPR menjangkakan keputusan awal pilihan raya boleh diketahui seawal jam 10 malam, manakala keputusan penuh dijangka diumumkan sebelum tengah malam.

Beliau turut memberi jaminan bahawa semua peti undi serta peralatan pilihan raya berada dalam keadaan selamat dan dikawal rapi oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) sehingga proses penyerahan kepada petugas bermula jam 5.30 pagi.

“Kita akan letak peti undi ini di dewan yang akan dikawal sepenuhnya oleh pihak polis sehingga diserahkan kepada semua petugas pagi esok.

“Proses penyerahan akan bermula jam 5.30 pagi esok dan kita memberi jaminan semua peralatan termasuk peti undi berada dalam keadaan selamat,” katanya.

PRN Negeri Sembilan kali ini menyaksikan 103 calon bertanding merebut 36 kerusi DUN, dengan Pakatan Harapan (PH) mempertaruhkan 36 calon, diikuti Barisan Nasional (BN) 25 calon, BERSATU 24 calon dan Perikatan Nasional (PN) 11 calon.

Turut bertanding ialah seorang calon masing-masing daripada Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (BERJASA), Parti Orang Asli Malaysia (ASLI) dan Parti Sosialis Malaysia (PSM), selain empat calon Bebas.

Daripada keseluruhan kerusi yang dipertandingkan, 21 DUN menyaksikan pertandingan tiga penjuru, 11 DUN dua penjuru, manakala masing-masing dua DUN melibatkan saingan empat dan lima penjuru. Keputusan yang bakal diumumkan malam ini akan menentukan barisan pentadbiran baharu Negeri Sembilan bagi penggal akan datang.

The post 859,750 pengundi bakal tentukan masa depan Negeri Sembilan hari ini appeared first on MYBERITA.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved