Azizulhasni dapat sokongan penuh MSN ke Olimpik 2028

14 Aug 2026 • 11:11 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Azizulhasni dapat sokongan penuh MSN ke Olimpik 2028

KUALA LUMPUR: Datuk Azizulhasni Awang mendapat sokongan penuh Majlis Sukan Negara (MSN) sekiranya jaguh berbasikal trek negara itu memutuskan untuk meneruskan karier hingga ke Sukan Olimpik Los Angeles (LA) 2028.

Ketua Pengarah MSN, Jefri Ngadirin berkata, pihaknya sudah mengadakan pertemuan dengan Azizulhasni bagi membincangkan perancangannya, selain bersetuju dengan laluan Olimpik yang turut memberi tumpuan khusus kepada pelumba berusia 38 tahun itu.

“Laluan Olimpik itu sudah dibincangkan dan dibentangkan kepada PKBM pada Jun lalu, dan kedua-dua pihak bersetuju Azizulhasni antara atlet yang akan diberikan fokus menuju Olimpik seterusnya,” katanya.

Bagaimanapun, Azizulhasni masih belum membuat keputusan rasmi mengenai hasrat untuk meneruskan cabaran ke LA selepas pemenang pingat perak Olimpik Tokyo 2020 itu memilih untuk memberi keutamaan kepada Sukan Asia Aichi-Nagoya yang berlangsung dari 19 September hingga 4 Oktober ini.

Menurut Jefri, Azizulhasni memaklumkan kepada MSN bahawa keputusan mengenai masa depannya di pentas Olimpik hanya akan dibuat selepas temasya berkenaan, sekali gus menjadikan Sukan Asia sebagai fokus terdekatnya.

“Azizulhasni memberitahu MSN bahawa beliau akan memberikan fokus kepada Sukan Asia terlebih dahulu dan selepas itu akan membuat pengumuman mengenai penyertaannya di Olimpik,” katanya.

Dalam pada itu, MSN dan Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) bersedia memenuhi keperluan program Azizulhasni sekiranya beliau memilih untuk memburu penampilan di LA28, termasuk menjadikan Kejohanan Dunia selepas Sukan Asia sebagai antara batu loncatan penting.

Jefri turut menjelaskan sokongan kerajaan terhadap misi Olimpik Azizulhasni tidak bergantung kepada kemasukannya semula dalam program Road to Gold (RTG) kerana terdapat saluran lain seperti Program Podium dan inisiatif kerajaan yang boleh dimanfaatkan.

“Tiada masalah mengenai sokongan kerajaan menerusi Kementerian Belia dan Sukan serta MSN kepada atlet negara yang mahu melayakkan diri ke Olimpik,” katanya.

Dalam perkembangan sama, kira-kira 700 atlet sepenuh masa yang kini menjalani latihan di bawah program MSN dijangka menerima manfaat kerjasama MSN bersama Ajinomoto, dengan jumlah itu dijangka meningkat kepada sekitar 1,300 atlet menjelang Sukan SEA Kuala Lumpur tahun depan. – UTUSAN

The post Azizulhasni dapat sokongan penuh MSN ke Olimpik 2028 appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved