
PETALING JAYA: Jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang memberi isyarat tegas bahawa masa depannya menuju Sukan Olimpik Los Angeles (LA) 2028 (LA) kini terletak pada kesungguhan pihak berkuasa sukan untuk terus mempertahankan khidmatnya.
Pelumba berusia 38 tahun itu malah tidak menolak kemungkinan melupakan baki kejohanan antarabangsa, termasuk Sukan Asia Aichi-Nagoya dan Kejohanan Dunia di Shanghai, sekiranya statusnya dalam program negara terus dibiarkan tanpa kepastian.
Azizulhasni menegaskan persoalan utama ketika ini bukan lagi mengenai keinginannya untuk meneruskan karier, sebaliknya sama ada kerajaan benar-benar melihat khidmatnya masih diperlukan bagi merealisasikan misi Malaysia di LA2028.
“Saya masih belum menerima sebarang perkara konkrit daripada kementerian atau Majlis Sukan Negara (MSN) mengenai sama ada mereka mahu saya meneruskan karier hingga LA2028 atau masih memerlukan khidmat saya.
“Sejak kembali daripada Sukan Komanwel Glasgow, saya sudah banyak kali menjelaskan bahawa persoalannya bukan lagi sama ada saya mahu meneruskan karier hingga LA2028, tetapi sama ada Malaysia benar-benar memerlukan dan mahukan saya teruskan,” kata Azizulhasni.
Kenyataan tegas itu hadir selepas Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari, memaklumkan keputusan mengenai kedudukan Azizulhasni akan dibuat selepas Sukan Asia Aichi-Nagoya bagi menilai keperluan operasi selain faktor kewangan.
Taufiq turut mengesahkan surat tawaran rasmi Program Road to Gold (RTG) masih belum diberikan kepada Azizulhasni, walaupun perbincangan antara kedua-dua pihak dikatakan berjalan baik dan menuju perkembangan positif.
Situasi itu bagaimanapun mula memberi kesan kepada perancangan segera Azizulhasni apabila Sukan Asia dijadualkan berlangsung dari 19 September hingga 4 Oktober, diikuti Kejohanan Dunia di Shanghai pada 14 hingga 18 Oktober yang menawarkan mata untuk layak ke LA2028.
“Pendirian saya mudah, selepas apa yang kami capai di Glasgow, saya sebenarnya sudah bersedia untuk menggantung basikal buat selama-lamanya.
“Namun, jika mereka terus bermain-main dan tidak bersedia mengambil perkara ini secara serius walaupun ia melibatkan kepentingan negara, saya fikir lebih baik saya lupakan sahaja Sukan Asia, Kejohanan Dunia dan LA2028,” katanya.
Azizulhasni sebelum ini merancang menamatkan karier selepas Olimpik Paris 2024, namun menangguhkan keputusan tersebut sehingga selepas Sukan Asia tahun ini selepas terus menunjukkan prestasi kompetitif di pentas antarabangsa.
Musim ini menyaksikan pelumba Terengganu itu muncul juara keseluruhan acara keirin dalam siri Piala Dunia Trek menerusi dua kemenangan emas sebelum menambah koleksi dengan emas keirin Sukan Komanwel. – UTUSAN
The post Mahu saya ke LA2028 atau tidak? – Azizulhasni appeared first on Utusan Malaysia.






