Jangan buat spekulasi ketukan misteri, polis siasat punca bunyi

20 Aug 2026 • 11:58 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Jangan buat spekulasi ketukan misteri, polis siasat punca bunyi

ALOR SETAR – Polis Kedah menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat spekulasi berhubung dakwaan ketukan misteri yang dikatakan merebak ke daerah Kubang Pasu dan Kuala Muda sehingga mencetuskan keresahan penduduk

Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah berkata, pihaknya memandang serius kebimbangan orang ramai susulan dakwaan tersebut dan siasatan bagi mengesan punca bunyi sedang dijalankan.

“Kita akan siasat, pertama kita nak tahu mana datang punca bunyi itu sebab ia meresahkan orang ramai. Kalau tengok rakaman video yang dapat itu, tidak ada pergerakan tetapi kita tak boleh ambil ringan sebab ia mendatangkan keresahan.

“Seperti tahun lepas berlaku perkara yang orang kata ada macam-macam di Baling iaitu kebakaran misteri di kampung. Jadi kita ambil tindakan awal dengan menghantar pegawai untuk siasat dan hasilnya, tidak ada misteri atau mistik. Sebenarnya dilakukan oleh orang tempatan yang mengalami masalah psikiatri,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas program Flag-Off Kibar Bendera Sempena Sambutan Hari Kemerdekaan ke-69 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah, di sini hari ini.

Menurut Adzli, pihaknya setakat ini tidak menerima sebarang laporan polis berhubung dakwaan ketukan misteri tersebut daripada mangsa terlibat.

“Buat masa ini, kita tidak dapat menentukan di mana punca ketuk-ketuk ini. Sehingga hari ini, belum ada laporan polis diterima. Walau bagaimanapun, saya sedar bahawa perkara ini mendatangkan keresahan kepada awam khususnya penduduk di kawasan berkaitan.

“Jadi saya telah mengarahkan elemen-elemen kita, khususnya ketua polis balai dan anggota untuk membuat rondaan,” ujarnya.

Kosmo! pada Isnin lalu melaporkan sebilangan penduduk di Jalan Langgar, Pekan Langgar dan beberapa kawasan lain di sini mendakwa terdengar bunyi ketukan misteri di pintu rumah pada waktu malam sebelum terkejut apabila mendapati tiada sesiapa ketika diperiksa.

Perkara itu semakin menjadi perhatian apabila orang ramai mula berkongsi rakaman televisyen litar tertutup kejadian di media sosial yang memaparkan bunyi ketukan kuat, namun tiada kelibat individu dikesan berada di hadapan rumah.

Polis Kota Setar kemudian meminta penduduk meningkatkan tahap keselamatan rumah dan kawasan persekitaran dengan memastikan pintu serta pagar sentiasa dikunci sempurna terutama pada waktu malam, selain tidak membuka pintu atau pagar sesuka hati apabila terdengar ketukan. – KOSMO! ONLINE

The post Jangan buat spekulasi ketukan misteri, polis siasat punca bunyi appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved