
ALOR SETAR: Polis Kedah menjalankan siasatan susulan berhubung dakwaan bunyi ketukan misteri yang tular di media sosial dan mencetuskan keresahan dalam kalangan penduduk, sejak Sabtu lalu.
Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah berkata, pihaknya memandang serius perkara itu meskipun setakat ini belum menerima sebarang laporan polis berkaitan kejadian itu.
Menurutnya, siasatan sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar bunyi ketukan yang didakwa berlaku di beberapa kawasan termasuk Kota Setar, Kubang Pasu dan Kuala Muda.
“Kita nak tahu dari mana datangnya bunyi ini kerana ia meresahkan orang ramai. Kalau tengok rakaman video yang diterima, tidak ada pergerakan, tetapi kita tidak boleh ambil ringan kerana perkara ini mendatangkan keresahan kepada masyarakat,” katanya selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan dan Program Flag-Off Kibar Bendera Sempena Sambutan Hari Kebangsaan Ke-69 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah, di sini hari ini.
Akhbar hari ini melaporkan ketukan misteri rumah penduduk yang berlaku di sekitar Langgar dan beberapa kawasan perumahan di daerah ini, merebak ke Kubang Pasu termasuk Jitra dan Changlun.
Sementara itu, Adzli berkata, pihaknya turut mengambil pendekatan sama seperti ketika timbul dakwaan kejadian kebakaran misteri di Baling pada penghujung tahun lalu.
“Ketika itu kita ambil tindakan awal dengan menghantar pegawai untuk menjalankan siasatan dan hasilnya, tiada unsur misteri atau mistik tapi kejadian itu dilakukan oleh individu tempatan yang mengalami masalah psikiatri,” katanya.
Menurutnya, walaupun tiada laporan rasmi diterima setakat ini, semua ketua polis balai di kawasan terlibat diarahkan meningkatkan rondaan dan pemantauan bagi memastikan keselamatan penduduk.
“Buat masa ini kita belum dapat menentukan punca bunyi ketukan itu. Bagaimanapun, saya sedar perkara ini menimbulkan keresahan khususnya kepada penduduk di kawasan berkaitan, jadi saya sudah arah ketua polis balai dan anggota masing-masing supaya tingkatkan rondaan,” katanya.
Dalam pada itu, Adzli meminta orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan dakwaan yang belum disahkan sehingga boleh mencetuskan panik.
“Lebih penting, kita mahu menurunkan kegusaran dan keresahan masyarakat. Insya-Allah, kita akan kenal pasti apa yang berlaku cuma saya minta orang ramai jangan membuat spekulasi,” katanya. – UTUSAN
The post Polis siasat ketukan misteri, orang ramai diminta jangan cetus spekulasi appeared first on Utusan Malaysia.






