99 Speedmart terima 10 trak elektrik Foton eAumark pertama di Malaysia

08/05/2025 - 09:56
Oleh 'AINA SYAZWINA
KUALA LUMPUR 8 Mei – 99 Speed Mart Sdn Bhd menerima 10 trak ringan elektrik Foton eAumark yang pertama di Malaysia daripada Angka-Tan Motor Sdn Bhd bagi memperluaskan operasi serta menyokong usaha kelestarian alam sekitar.
Pegawai Pengoptimuman dan Kelestarian 99 Speedmart, Yan Zhong berkata, sebagai peneraju segmen barangan runcit di Malaysia, kumpulan itu sedar tanggungjawab untuk menerajui perubahan ke arah masa depan yang lebih lestari.
"Langkah ini menunjukkan komitmen 99 Speedmart untuk menggunakan kenderaan yang lebih bersih dan cekap, sejajar dengan sasaran negara mencapai sifar bersih karbon menjelang 2050," katanya dalam satu kenyataan.
Angka-Tan Motor merupakan pengedar rasmi trak Foton di Malaysia di bawah Warisan TC Holdings Bhd.
Trak elektrik tersebut dicas menggunakan tenaga elektrik yang sebahagiannya dijana melalui sistem solar PV di pusat pengedaran syarikat, sekali gus menjimatkan tenaga dan mengurangkan pelepasan karbon.
Ketua Pegawai Eksekutif Warisan TC Holdings, Keng Meng berkata, penyerahan trak itu bukan sekadar penambahan kenderaan, tetapi mencerminkan usaha bersama ke arah sistem logistik yang lebih mesra alam.
"Kami bangga dapat bekerjasama dengan 99 Speedmart dalam inisiatif ini melalui penggunaan trak elektrik Foton eAumark.
"Kepercayaan mereka terhadap Angka-Tan Motor dan Foton mencerminkan hubungan kukuh yang dibina atas asas kepercayaan, inovasi dan komitmen terhadap alam sekitar," katanya.- DagangNews.com
standard




